Bukan mudah untuk melepaskan sesuatu yang disayangi, apatah lagi jika yang perlu dilepaskan itu menyimpan memori dan diperoleh dengan jerih payah serta pengorbanan sendiri.
Namun suri rumah berasal dari Sabah ini sanggup menjual koleksi kad dagangan Pokemon peribadinya yang bukan sahaja daripada kategori “rare”, edisi terhad dan sukar didapatkan, demi mengumpul dana menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotila dijangka awal tahun depan.
Memiliki lebih 3,000 kad watak animasi comel yang menemani zaman kanak-kanaknya, Ayesha Assilla Watuna, 30, berkata niat menjual koleksi Permainan Kad Dagangan itu tercetus setelah menyaksikan ramai rakyat Malaysia, khususnya wirawati negara, sanggup berkorban demi membantu penduduk Palestin yang sedang ditindas oleh Zionis.
“Hobi saya ini mungkin ada orang pandang enteng, tetapi setidak-tidaknya saya boleh tunjukkan bahawa saya boleh sumbang sesuatu lebih besar kepada masyarakat dan semuanya berbaloi.
“Bukan itu sahaja, saya juga dapat menceritakan kepada anak-anak kelak yang saya pernah jual kad Pokemon kesayangan untuk jejak kaki di Palestin bagi membantu saudara di sana,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.
Menurut ibu kepada tiga cahaya mata itu, dia mula menjual koleksi berharga tersebut sekitar hujung Oktober lalu secara dalam talian dan melalui reruai di pasar malam setiap hujung minggu di Taman Melawati, di sini.
Ayesha Assilla yang merupakan lulusan filem dan penyiaran, berkata setakat ini dia telah berjaya mengumpul lebih RM15,000 hasil jualan dengan setiap kad dijual serendah RM2 hingga ribuan ringgit.
“Saya bertekad hasil jualan 100 peratus untuk dana sertai Global Sumud Flotila. Saya tidak kisah kalau kad yang saya ada perlu dijual kesemuanya walaupun ada yang saya sayang nak lepaskan, asalkan jumlah wang cukup untuk memenuhi impian saya, saya sanggup,” katanya sambil berkongsi pernah meminta bantuan rakan mendapatkan edisi yang hanya dijual di Jepun.
Berkongsi lanjut, wanita itu berkata hobi mengumpul kad hanya bertujuan mengisi masa lapang tanpa mengetahui koleksi tersebut mempunyai nilai pasaran yang tinggi.
Membelanjakan sekitar RM2,000 sebulan untuk mendapatkan kad-kad yang diidamkan, Ayesha Assilla berkata harga kad Pokemon sentiasa berubah mengikut pasaran dan boleh dirujuk melalui aplikasi khusus yang menjadi panduan peminat dan pembeli.
“Lebih kurang macam emas… makin lama harga kad makin tinggi. Kami pengumpul kad ini biasa jual mengikut pasaran semasa yang ditunjukkan dalam aplikasi bernama Shiny. Kami hanya imbas kad dan harga akan dipaparkan.
“Ada bundle kad ini saya beli hanya RM400 waktu itu, sekarang harganya dah mencecah dua kali ganda dan mungkin akan naik lagi. Asalkan masih dalam plastik pembalut asal, harga boleh capai lebih tinggi saban hari,” katanya.
Menurutnya kualiti kad turut mempengaruhi harga jualan, dengan cetakan yang simetri dan sempurna mempunyai nilai komersial lebih tinggi.
“Kalau orang yang jenis pentingkan kualiti, ada yang sampai hantar pergi grading untuk tahu sama ada kad itu perfect ke tak. Masa grading antara yang akan diperiksa adalah garisan margin itu senget atau tidak,” katanya yang mengakui aktiviti mengumpul kad itu ibarat terapi ketika dirinya berdepan tekanan, selain hanya bertumpu pada karakter kegemaran seperti Charizard dan ilustrator pilihan, Tomokazu Komiya.
- Bernama
