Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
FAM ulas TMJ: Tunggu laporan siasatan bebas sebelum bertindak

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menunggu laporan jawatankuasa bebas yang diketuai bekas ketua hakim negara, Md Raus Sharif sebelum memutuskan sebarang tindakan berhubung kontroversi pemain warisan.

Ia berhubung kenyataan Pemangku Sultan Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menegaskan pegawai FAM perlu bertanggungjawab sekiranya terbukti melakukan salah laku berhubung dakwaan pemalsuan dokumen berhubung isu itu.

"Kita tunggu laporan daripada Tun Md Raus, daripada siasatan ini kita tengok berlaku kesalahan dari segi tatacara pengurusan kemudian kita akan bawa ke (jawatankuasa) Exco untuk tentukan.

"Dapatan (laporan) itu penting untuk kita bertindak," kata Pemangku Presiden FAM, Mohd Yusoff Mahadi.

Dia berkata demikian ketika ditemui media selepas simposium yang berlangsung di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini.

Pada 10 Dis lalu, Tunku Ismail menegaskan pegawai FAM wajar meletak jawatan jika didapati melakukan salah laku berkaitan dakwaan pemalsuan dokumen kewarganegaraan tujuh pemain “warisan”.

Baginda turut menyindir FAM, mempersoalkan sumbangan badan induk itu terhadap pembangunan bola sepak tempatan.

“Kalau ada terlepas pandang dari mana-mana pihak dalam pentdbiran yang ada dalam FAM, mereka patut letak jawatanlah. Kenapa dia ada kat situ, selama ni ada kat situ pun apa dia pernah buat untuk bola sepak, cakap dengan saya?

"Bila benda ni berlaku, semua lepas tangan...

"Siapa yang kerja dalam contoh admin yang ada salah, letak jawatan, termasuk dengan katakan CEO terlepas pandang dia buat salah, letak jawatan, ambil tanggungjawab masing-masing,” titah baginda pada satu sesi bersama penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) FC baru-baru ini.

Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) sebelum ini memulakan siasatan terhadap FAM dan tujuh pemain Harimau Malaya — Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Manchuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.

Pada 26 Sept, Fifa memutuskan pemain-pemain itu bersalah melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib Fifa (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.

Siasatan Fifa mendapati FAM mengemukakan dokumen yang didakwa dipalsukan bagi mengesahkan kelayakan pemain-pemain berkenaan, sekali gus membenarkan mereka beraksi dalam pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 pada 10 Jun, yang menyaksikan Malaysia menewaskan Vietnam 4-0.

Susulan itu, FAM diarahkan membayar denda 350,000 franc Swiss (sekitar RM1.8 juta) manakala setiap pemain didenda 2,000 franc Swiss dan digantung daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak selama 12 bulan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS