Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu hari ini mengarahkan perbicaraan semula kes fitnah jenayah melibatkan pengasas Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown, yang sebelum ini menyaksikan dia dijatuhi hukuman penjara dua tahun tahun lalu.
Hakim Radzi Harun memutuskan prosiding di hadapan majistret sebelum ini merupakan satu perbicaraan terkhilaf (mistrial) kerana mahkamah telah tersilap menggunakan Seksyen 425A Kanun Tatacara Jenayah, yang membenarkan perbicaraan jenayah diteruskan tanpa kehadiran tertuduh.
Susulan itu, dia membatalkan sabitan terhadap Rewcastle-Brown atas kesalahan memfitnah secara jenayah Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, serta hukuman penjara yang dijatuhkan oleh majistret.
“Disebabkan mahkamah ini telah mengisytiharkan satu perbicaraan mistrial, pertuduhan terhadap perayu (Rewcastle-Brown) masih kekal dan prinsip jenayah autrefois acquit atau autrefois convict tidak terpakai untuk memihak kepada perayu.
“Kecuali pendakwa raya memutuskan sebaliknya dalam bidang kuasanya di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 376(1) Kanun Tatacara Jenayah, saya mengarahkan kes ini disebut di hadapan seorang majistret baru dengan tujuan perbicaraan semula diadakan atas pertuduhan yang sama terhadap perayu.
“Majistret tersebut hendaklah memanggil semula saksi-saksi pendakwaan dan merekodkan keterangan mereka tanpa kehadiran perayu selaras dengan Seksyen 401(1) Kanun itu.
“Mana-mana keterangan sedemikian boleh, sekiranya perayu ditangkap pada mana-mana tarikh kemudian, diterima sebagai bukti terhadapnya dalam perbicaraan bagi kesalahan yang didakwakan, selaras dengan Seksyen 401(2) Kanun tersebut,” katanya ketika membenarkan rayuan Rewcastle-Brown terhadap keputusan mahkamah sebelum ini.
Didakwa tanpa kehadiran
Rewcastle-Brown didakwa tanpa kehadirannya pada 23 Sept 2021 di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan atas kesalahan memfitnah secara jenayah berkaitan bukunya, “The Sarawak Report - The Inside Story of the 1MDB Exposé”.
Seksyen 500 memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali.
Kes tersebut tertumpu kepada satu perenggan dalam edisi awal buku berkenaan yang menyebut Sultanah Terengganu dan yang, menurut kertas pertuduhan, mengandungi perkataan menyinggung pada baris ketujuh perenggan keempat di muka surat tiga.
Kertas pertuduhan mendakwa buku tersebut ditulis di Lot 60048, Taman Chenderiang 21080, di Kuala Terengganu pada jam 8 pagi, 14 Sept 2018.
Bagaimanapun, edisi-edisi buku yang diterbitkan kemudian telah membuang perenggan berkenaan.
Perbicaraan diteruskan tanpa kehadiran Rewcastle-Brown dan berakhir pada 7 Feb 2024, apabila Majistret Nik Tarmizie Nik Shukri mensabitkan dia bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara dua tahun.
Sehari selepas keputusan itu, Rewcastle-Brown memfailkan rayuan terhadap sabitan berkenaan melalui peguamnya, Guok Ngek Seong.
