Paling Popular
Terkini

Beregu wanita utama negara Pearly Tan-M. Thinaah dipaksa bekerja keras selama 86 minit untuk menewaskan pasangan Indonesia Febriana Dwipuji Kusuma-Meilysa Trias Puspitasari di Pathum Thani, sekali gus menamatkan kemarau pingat emas Malaysia selama 10 tahun dalam acara itu pada Sukan SEA 2025 hari ini.

Pada perlawanan akhir di Gimnasium 4, Kampus Rangsit Universiti Thammasat, pasangan pilihan pertama itu bermula cemerlang dengan mendahului 11-6 sebelum kehilangan momentum yang menyaksikan mereka ketinggalan 15-16 selepas rehat, namun Pearly-Thinaah kembali tenang untuk memenangi set pembukaan 21-16.

Naib juara Kejohanan Dunia 2025 itu tampak berada di landasan tepat untuk menamatkan perlawanan apabila mendahului 7-0 pada set kedua, tetapi beberapa kesilapan yang dilakukan memberi peluang kepada pasangan pilihan keempat itu bangkit untuk melakar kemenangan 21-19.

Set penentuan berlangsung dalam suasana mendebarkan, dengan kedua-dua pasangan terikat 10-10 sebelum wakil Indonesia mendahului 16-13, namun itu menjadi titik perubahan apabila Pearly-Thinaah bangkit dengan cemerlang, merampas kembali kelebihan pada kedudukan 18-17 sebelum menutup perlawanan 21-17 apabila pukulan padu Pearly memaksa Febriana melakukan kesilapan.

Kemenangan itu menamatkan penantian sedekad Malaysia untuk pingat emas beregu wanita pada Sukan SEA, yang kali terakhir dimenangi oleh Amelia Alicia Anscelly-Soong Fie Cho pada edisi 2015 di Singapura.

Ini adalah pingat emas Sukan SEA pertama Pearly-Thinaah pada penampilan sulung mereka.

Ia juga menandakan kemenangan keempat berturut-turut mereka ke atas lawan sama serta menyumbang pingat emas pertama kem badminton negara pada temasya dwitahunan di sini.

Sukan SEA 2025 berlangsung dari 9 hingga 20 Dis di dua wilayah di Bangkok dan Chonburi.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS