Paling Popular
Terkini

Beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik gagal mengutip pingat emas kedua pada Sukan SEA selepas tewas kepada pasangan Indonesia Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani pada perlawanan akhir edisi 2025 di Pathum Thani, Thailand hari ini.

Beregu pilihan pertama Malaysia itu sekali lagi dikecewakan oleh pasangan pilihan ketiga dari Indonesia, sekali gus menerima kekalahan keempat dalam lima pertemuan menentang Sabar Karyaman-Moh Reza di Gimnasium 4, Kampus Rangsit Universiti Thammasat.

Juara dunia 2022 itu bergelut untuk mendapatkan rentak permainan pada awal perlawanan dan gagal mengekang tekanan pihak lawan sebelum tewas 14-21 pada set pembukaan.

Pada set kedua, kedua-dua beregu terikat 10-10 sebelum juara edisi 2019 itu gagal menyerap tekanan untuk membolehkan pasangan Indonesia itu melebarkan kedudukan dan mengesahkan pingat emas dengan kemenangan 21-17 dalam masa 44 minit selepas pukulan balas Wooi Yik tersasar keluar.

Aaron berkata mereka melakukan banyak kesilapan dan mengakui peningkatan konsistensi pihak lawan.

“Untuk lawan mereka bukan senang, kami perlu mengkaji lagi permainan mereka. Kalah tetap kalah, kami harus bangkit, ada satu lagi kejohanan tahun ini (Final Jelajah Dunia 2025),” katanya selepas perlawanan itu.

Keputusan itu menyaksikan skuad badminton negara menamatkan kempen pada edisi ke-33 temasya dwitahunan itu dengan satu pingat emas, dua perak dan enam gangsa.

Walaupun kutipan pingat itu melepasi sasaran tujuh pingat yang ditetapkan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM), pasukan negara gagal mencapai sasaran awal untuk memenangi empat pingat emas.

Beregu wanita utama negara Pearly Tan-M. Thinaah menyelamatkan maruah Malaysia dengan menghadiahkan satu-satunya pingat emas negara selepas mengharungi perlawanan maraton selama 86 minit sebelum menundukkan pasangan Indonesia Febriana Dwipuji Kusuma-Meilysa Trias Puspitasari, 21-16, 19-21, 21-17.

Sukan SEA 2025 berlangsung dari 9 hingga 20 Dis di dua wilayah di Bangkok dan Chonburi.

-Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS