Polis masih belum menemukan sebarang keterangan dan bukti yang boleh mengesahkan dakwaan berhubung anggota SPRM mengacu senjata dalam kes serbuan dan penahanan ahli perniagaan Albert Tei di rumahnya di Puchong pada 28 Nov lepas.
Ketua Polis Selangor Shazeli Kahar berkata ia berdasarkan siasatan awal yang dijalankan selepas pihaknya merakam keterangan semua pegawai dan anggota SPRM yang terlibat dalam serbuan itu serta isteri kepada Albert Tei, yang juga pengadu dalam kes berkenaan.

Dia berkata siasatan masih dijalankan secara terperinci dan orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu perjalanan siasatan kes itu.
“Banyak saksi telah dipanggil bagi dirakam keterangan dan membantu siasatan, cuma saya tidak boleh dedahkan jumlahnya sekarang. Mohon bagi ruang kepada polis selesaikan siasatan.
“Cuma ahli keluarga pengadu yang belum beri keterangan kerana dipercayai berada di luar kawasan selepas kejadian tetapi mereka telah beri komitmen untuk datang apabila dipanggil kelak,” katanya yang dipetik Bernama semasa sidang media di Shah Alam hari ini.
Shazeli berkata polis turut menerima rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari kediaman terbabit serta rakaman perbualan telefon dan telah diserahkan kepada pihak forensik untuk disemak dan analisa lanjut.
Dia bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah CCTV yang diterima berikutan siasatan masih berjalan.
“Rakaman berkenaan memang wujud tetapi saya tidak boleh dedahkan sekarang. Kami juga akan memanggil semula pengadu, iaitu isteri Albert Tei bagi mendapatkan keterangan lanjut,” katanya.
Shazeli berkata pihaknya juga membuka satu kertas inkuiri polis bagi menyiasat dakwaan berkenaan.
Sebelum ini, media melaporkan anggota SPRM yang menjalankan serbuan ke kediaman ahli perniagaan Albert Tei dilengkapi kamera badan termasuk alat rakaman.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki turut dilaporkan berkata pihaknya membuat laporan polis berhubung dakwaan berkenaan agar siasatan dapat dijalankan supaya tiada pihak yang berniat jahat menyebarkan berita tidak sahih berkaitan SPRM.
Azam berkata penahanan Tei dilakukan mengikut prosedur yang ditetapkan selain menafikan berlaku situasi apabila anggota SPRM mengacukan senjata pada kepala ahli perniagaan itu.

Sementara itu dalam satu kenyataan, polis hari ini mengumumkan sedang menyiasat dakwaan isteri Tei bahawa anggota SPRM telah mengacukan pistol ke arah ahli perniagaan itu dan dirinya ketika serbuan di rumah mereka di Puchong, Selangor.
Perkembangan itu berlaku lebih dua minggu selepas isteri Tei, yang hanya mahu dikenali sebagai Lee, membuat laporan polis berhubung insiden itu pada 28 Nov lalu.
Ketua Polis Selangor Shazeli Kahar berkata satu kertas siasatan telah dibuka dan polis memberi jaminan siasatan akan dijalankan secara profesional dan telus.
“Polis Kontigen Selangor mengesahkan, Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang telah menerima satu laporan daripada seorang wanita pada 28 Nov, yang bahawa pasukan penguatkuasa SPRM telah menjalankan serbuan dan tangkapan terhadap suaminya di bawah Seksyen 16(A) Akta SPRM 2009.
“Pengadu turut mendakwa semasa operasi dijalankan, seorang daripada anggota SPRM tersebut telah mengacukan senjata ke arahnya dan suaminya.
“Susulan itu, pihak polis telah membuka satu kertas enkuiri polis bagi menyiasat dakwaan berkenaan. Siasatan akan dilaksanakan secara profesional dan telus,” katanya.
Pada 28 Nov, dilaporkan bahawa anggota SPRM menyerbu rumah Tei, menahan ahli perniagaan itu dan menjalankan pemeriksaan di premis berkenaan.
Isterinya kemudian membangkitkan kebimbangan mengenai cara operasi dilaksanakan, mendakwa pasukan serbuan memecah masuk ke rumah mereka melalui pintu utama sebelum beberapa anggota menggari Tei.

Salah seorang anggota SPRM juga didakwa mengacukan pistol ke arah Tei dari jarak tertentu.
Selepas selesai dengan Tei, Lee mendakwa ahli keluarga lain diarahkan berkumpul di satu bahagian lain.
Dia seterusnya mendakwa mereka turut merampas telefon bimbit, termasuk milik anak-anak, kononnya untuk memadam video dan gambar daripada peranti berkenaan.
