Aktivis Arun Dorasamy mendakwa terdapat lebih banyak “bukti” yang bercanggah dengan kenyataan rasmi polis berhubung kematian tiga lelaki di Durian Tunggal, Melaka yang didakwa di tangan polis tempatan.
Berucap dalam satu sidang media di pejabat Lawyers for Liberty di Petaling Jaya hari ini, Arun mendedahkan dia menerima sepucuk surat tulisan tangan dalam bahasa Tamil daripada seorang pendedah maklumat, bersama beberapa keping gambar yang diambil dari lokasi kejadian yang didakwa sebagai tempat pembunuhan.
Dia berkata cap masa (timestamp) pada gambar-gambar tersebut, yang dikongsi dengan media, selari dengan rakaman audio yang dirakam oleh isteri salah seorang mangsa ketika kejadian itu didakwa berlaku.
“(Syarikat konsesi lebuh raya) Plus mengesan sebuah kereta yang rosak di KM224 dan mengeluarkan beberapa ‘mesej’ kepada trak tunda untuk memberi bantuan.

“Pada jam 1.25 pagi, 'orang' pertama daripada trak tunda tiba. Garis masa ini sangat hampir dengan kronologi yang kami kemukakan,” kata Arun pada sidang media bersama peguam keluarga mangsa.
Para peguam secara konsisten mempertikaikan kenyataan Ketua Polis Melaka, Dzulkhairi Mukhtar yang mendakwa pasukannya tidak mempunyai pilihan selain melepaskan tembakan ke arah tiga lelaki berusia antara 24 hingga 29 tahun itu, selepas seorang daripada mereka dikatakan menghayunkan parang ke arah seorang anggota polis di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal.
Versi polis turut menyatakan kejadian itu berlaku sekitar jam 4.30 pagi dan menyebabkan seorang koperal berusia awal 30-an mengalami kecederaan parah di lengan kiri.
Surat dan gambar
Arun berkata pendedah maklumat itu merupakan pemandu trak tunda kedua yang tiba di lokasi pada jam 2.21 pagi pada hari kejadian namun surat tersebut ditulis berdasarkan maklumat daripada pemandu pertama.
“Individu yang mengambil gambar-gambar ini dan menulis nota ini (surat kepada saya) pergi ke lokasi pada jam 2.21 pagi, tetapi tiada sesiapa di situ kecuali sebuah Proton Saga ‘CCP 7208’, lalu dia mengambil gambar kereta tersebut,” katanya.
Beberapa keping gambar menunjukkan kereta merah itu dengan pintu terbuka dan bonet hadapan diangkat, termasuk keadaan di dalam kenderaan tersebut.

“Dia mengambil gambar itu untuk menunjukkan tarikh dan masa — masanya 2.21 pagi dan tarikhnya 24 November.
“Sehingga tiga atau empat hari lalu, dia tidak tahu bahawa kereta yang dirakam itu ialah kereta yang dikaitkan dengan kes pembunuhan Durian Tunggal,” kata Arun, sambil menjelaskan pendedah maklumat itu menyedari kaitan tersebut kerana dia merupakan pengikut media sosial aktivis berkenaan.
Merujuk kepada satu lagi gambar, Arun menyorot sebuah telefon bimbit yang didakwa milik salah seorang mangsa, G Logeswaran, 29, yang digunakan dalam panggilan telefon terakhir kepada isterinya, M Jayashree yang turut hadir dalam sidang media hari ini.
“Sekali lagi, dengan ‘bukti’ ini, kami menafikan naratif yang dibawa oleh polis Melaka,” tegasnya.

Selain itu, Arun berkata dia dan pasukan peguam telah pergi ke lokasi kejadian dan mengesahkan kewujudan kamera litar tertutup (CCTV) Plus di lebuh raya berhampiran, yang menurutnya berkemungkinan merakam keseluruhan kejadian antara jam 1.25 pagi hingga 2.21 pagi.
Peguam Rajesh Nagarajan, yang turut hadir hari ini berkata pihaknya akan mengemukakan surat dan gambar-gambar tersebut sebagai sebahagian daripada satu lagi laporan polis yang akan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya hari ini.
Versi bercanggah
Pada 6 Disember, Jayashree dan peguam keluarga mangsa berkata berdasarkan rakaman audio bertarikh 24 November yang telah diserahkan kepada Bukit Aman, tiga lelaki tersebut kedengaran memberi kerjasama kepada polis ketika ditahan.
Jayashree turut berkata rakaman itu tidak menunjukkan sebarang tingkah laku mengancam seperti yang didakwa pihak polis.
Susulan itu, Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (Bukit Aman) mengumumkan penubuhan satu pasukan khas untuk menyiasat kes tersebut, termasuk laporan polis yang dibuat oleh ahli keluarga mangsa.
