Dikemaskini dengan kenyataan Atomy Malaysia.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman fitnah Atomy Malaysia Sdn Bhd terhadap penceramah bebas Firdaus Wong berkaitan dakwaan syarikat itu terlibat dalam kegiatan kristianisasi.
Peguam bela Syahidah Hanum Mohd Ghazali berkata Hakim Arziah Mohamed Apandi memerintahkan Atomy–yang dimiliki oleh Atomy Co Ltd dari Korea Selatan– membayar kos sebanyak RM70,000 kepada Firdaus.
Menurutnya, mahkamah mendapati terdapat keterangan kukuh bahawa aktiviti kristianisasi dijalankan oleh Atomy Co, yang mengawal secara mutlak Atomy Malaysia.
Dia turut memaklumkan, enam hantaran yang dibuat anak guamnya di media sosial dan didakwa sebagai fitnah ditolak oleh mahkamah.
Terdahulu, Firdaus yang juga pengasas NGO Multiracial Reverted Muslims (MRM) mendakwa Atomy Malaysia secara terang-terangan menyokong usaha kristianisasi.
Syarikat berpangkalan di Gongju, Korea Selatan itu didakwa sebagai pengeluar lebih 400 produk pelbagai kategori antaranya produk makanan tambahan nutrisi, kecantikan, fesyen dan hiasan.
Dengan menggunakan sistem pemasaran berbilang aras (MLM), Atomy Co meluaskan kegiatannya di beberapa buah negara termasuk Malaysia.
‘Saya akan dedah lebih banyak’
Sementara itu Firdaus menyatakan rasa syukur susulan kemenangan dalam kes saman fitnah dihadapinya itu.
“Alhamdulillah. Allahuakbar. Kita menang saman fitnah terhadap Atomy Malaysia.
“Alhamdulillah. Terima kasih di atas doa kalian. Injunksi untuk saya bercakap atau menulis tentang Atomy dibatalkan oleh mahkamah.
“Maka saya akan dedahkan lebih banyak perkara yang berlaku di dalam mahkamah berdasarkan keterangan saksi-saksi,” katanya di Facebook.
‘Tiada dapatan fakta berkenaan kristianisasi’
Sementara itu, Atomy Malaysia berkata pihaknya akan membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi tersebut.
Dalam kenyataan hari ini, pasukan pengurusan syarikat itu menegaskan mahkamah tidak membuat sebarang dapatan fakta bahawa Atomy Malaysia atau Atomy Co Ltd Korea terlibat dalam aktiviti kristianisasi atau apa-apa aktiviti yang tidak wajar.
"Dakwaan bahawa Mahkamah Tinggi memutuskan Atomy Co Ltd Korea terlibat dalam aktiviti kristianisasi adalah tidak benar. Isu tersebut tidak pernah dibawa ke hadapan mahkamah dan mahkamah tidak membuat sebarang dapatan sedemikian.
"Keputusan Mahkamah Tinggi adalah berdasarkan sepenuhnya kepada pemakaian pembelaan undang-undang tertentu, dan tidak merupakan suatu penentuan kehakiman bahawa dakwaan Kristianisasi atau salah laku tersebut adalah benar.
"Sebarang kenyataan yang menyatakan sebaliknya adalah tidak tepat dan mengelirukan, serta menyalahgambarkan keputusan mahkamah," kata Atomy Malaysia yang merujuk beberapa kenyataan dalam talian yang didakwa bersifat memfitnah.
Menurut syarikat itu lagi, pihaknya kekal komited terhadap amalan perniagaan yang sah di sisi undang-undang, beretika dan telus.
"Pihak syarikat menasihatkan orang ramai supaya hanya bergantung kepada maklumat yang tepat dan dikeluarkan melalui saluran rasmi Atomy Malaysia, serta menahan diri daripada menyebarkan tafsiran yang mengelirukan terhadap keputusan mahkamah," kata syarikat itu lagi.
