Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Debat mengenai UEC amalan politik tidak sihat - Warisan
Diterbitkan:  Dec 15, 2025 6:08 PM
Dikemaskini: 10:08 AM

Seorang pemimpin Warisan hari ini berkata isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dibangkitkan semula selepas prestasi lemah ditunjukkan PH di Sabah dan menyifatkannya sebagai contoh amalan politik tidak sihat.

Naib Ketua Penerangan Warisan, Justin Wong, berkata gesaan untuk “meneliti semula” isu berkenaan sudah tidak relevan, sebaliknya kerajaan Persekutuan perlu segera mengiktiraf UEC sebagai keputusan yang berprinsip dan bertanggungjawab.

Adun Sri Tanjong itu berkata isu UEC, yang sebelum ini suram, tiba-tiba menjadi topik hangat apabila PH menunjukkan prestasi yang lemah di Sabah, dan hanya menang dua kerusi menerusi PKR.

“Beberapa tahun lalu, pemimpin DAP kata hanya sedikit masyarakat Cina guna UEC untuk mohon jawatan kerajaan.

“Sekarang, UEC tiba-tiba jadi sangat penting, dengan pemimpin PH — termasuk dari Malaysia Timur — berminat untuk bangkitkan isu ini semula,” katanya.

Wong menegaskan manifesto pilihan raya PH pada 2018 dan 2022 telah berjanji untuk mengiktiraf UEC, dan perkara itu disokong DAP yang baru-baru ini tewas di Sabah.

“Selepas semua ini, adakah kerajaan masih perlukan lebih banyak ‘kajian’ dan ‘perundingan’?” soalnya.

Selepas pilihan raya negeri, Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming, mengumumkan akan bertemu Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, mengenai pengiktirafan UEC.

Tindakan ini dikritik hebat pimpinan Umno.

Pada 12 Disember, Anwar mengingatkan semua pihak tentang kedudukan perlembagaan Bahasa Malaysia, menunjukkan DAP mungkin menghadapi cabaran besar.

Isu berasingan

Wong berkata pengiktirafan UEC dan usaha memartabatan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi adalah dua perkara berasingan.

“Kami tidak pernah lihat kerajaan negeri kata pengiktirafan UEC perlu ditangguh untuk pertahankan Bahasa Melayu. Ini jelas menunjukkan kedua-dua isu ini tidak bercanggah,” katanya, merujuk pengiktirafan UEC di Sabah semasa Shafie Apdal memimpin negeri itu 2018–2020.

“Kalau kerajaan mahu, Kementerian Pendidikan boleh buat buku teks dwibahasa, kukuhkan Bahasa Melayu dan Inggeris, dan bagi ruang untuk bahasa lain juga,” tambahnya.

Dalam perkembangan lain, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, menegaskan pengiktirafan UEC sejak 2015 membolehkan pelajar sambung belajar di universiti negeri dan membuka laluan kerjaya dalam GLC negeri.

Dia menasihati semua pihak jangan terlalu fokus pada perdebatan bahasa dan sistem pendidikan kerana ia boleh melambatkan kemajuan dan teknologi negeri ketinggalan daripada perkembangan global.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS