Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Akaun Bersatu masih dibekukan walaupun notis sudah berakhir’

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini dimaklumkan bahawa dua akaun bank milik Bersatu yang dibekukan dan kemudiannya disita pada 2023 masih tidak boleh diakses sehingga hari ini walaupun tempoh notis sitaan telah berakhir.

Peguam parti itu, Chetan Jethwani, berhujah bahawa tindakan berterusan menyita akaun CIMB dan Ambank milik Bersatu adalah tidak sah, dicemari niat jahat (mala fide) serta ketidakpatuhan prosedur, khususnya apabila tiada sebarang pertuduhan jenayah dikenakan terhadap parti itu sebagai sebuah pertubuhan.

Tambahnya, bahawa menurut Seksyen 44(5) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001, perintah pembekuan akan luput selepas 90 hari dari tarikh perintah jika individu yang dikenakan perintah itu tidak didakwa atas kesalahan di bawah AMLA atau pembiayaan keganasan.

“Daripada melepaskan akaun bank kepada Bersatu, SPRM terus secara salah menafikan (parti itu) daripada mengakses akaun banknya.

“Tindakan ini bukan sahaja bercanggah dengan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan, malah menunjukkan kelakuan responden yang jelas berunsur niat jahat,” hujahnya di hadapan Hakim Aliza Sulaiman.

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata pada Februari 2023 bahawa akaun berkenaan dibekukan bagi memudahkan siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan.

Namun, menurut garis masa dalam hujahan bertulis peguam parti itu, SPRM telah membekukan akaun CIMB dan Ambank milik Bersatu masing-masing pada 12 dan 13 Januari 2023, dengan tempoh notis berakhir pada 12 dan 13 April tahun yang sama.

Parti itu dan presidennya, Muhyiddin Yassin, telah memfailkan permohonan pada 8 Mac tahun sama bagi mencabar notis pembekuan tersebut, sebelum akaun berkenaan disita.

Walaupun perintah pembekuan telah berakhir, hujah pihak Bersatu, parti itu masih tidak dapat mengakses akaunnya pada 13 April, menyebabkan mereka menghantar surat pertanyaan rasmi kepada SPRM pada 14 April.

SPRM membalas pada 19 April dengan mengesahkan bahawa akaun tersebut telah disita, tanpa menyerahkan notis sitaan kepada parti itu.

Dalam satu kenyataan pada 20 April, SPRM berkata ia telah menyita akaun berkenaan pada 11 April selepas memperoleh perintah di bawah Seksyen 50 AMLATFPUAA 2001.

Bagaimanapun, peguam kanan persekutuan Norhaffiza Azizan berhujah bahawa pertuduhan jenayah terhadap Muhyiddin telah mengatasi notis sitaan SPRM kerana dia didakwa atas kapasiti sebagai presiden parti itu.

“Bersatu sebagai sebuah pertubuhan tidak boleh didakwa secara sendiri, tetapi Muhyiddin telah didakwa dalam kapasiti beliau sebagai presiden parti.

“Perintah sitaan itu tidak luput kerana pertuduhan (terhadap Muhyiddin) telah mengatasi perintah sitaan tersebut, sehingga dan melainkan suatu penghakiman diputuskan dalam kes berkenaan.

“Oleh itu, isu ini sepatutnya dibicarakan di mahkamah jenayah dan bukan melalui semakan kehakiman di mahkamah,” katanya.

Muhyiddin sebelum ini didakwa pada Mac 2023 atas empat pertuduhan menyalahgunakan kuasa di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 dan tiga pertuduhan tambahan pengubahan wang haram di bawah Seksyen 4(1)(b) AMLATFPUAA 2001, dengan kes itu dijadualkan dibicarakan tahun depan.

Pertuduhan tersebut berkaitan program Jana Wibawa yang diperkenalkan semasa dia menjadi perdana menteri antara 2020 dan 2021.

Di bawah pertuduhan salah guna kuasa, dia didakwa menggunakan kedudukannya sebagai perdana menteri dan presiden Bersatu ketika itu untuk meminta RM232.5 juta daripada tiga syarikat dan seorang individu antara 1 Mac 2020 hingga 20 Ogos 2021.

Tiga syarikat tersebut ialah Bukhary Equity, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd, manakala individu berkenaan ialah Azman Yusoff.

Bagi tiga pertuduhan pengubahan wang haram, Muhyiddin didakwa menggunakan kedudukannya sebagai presiden Bersatu untuk menerima RM200 juta daripada Bukhary Equity antara 25 Feb 2021 hingga 8 Julai 2022.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS