Pengerusi DAP Sabah Phoong Jin Zhe sedang menimbang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap ahli perniagaan kontroversi, Albert Tei, kerana mengaitkannya dengan skandal lesen perlombongan negeri itu, di sebuah rancangan audio siar baru-baru ini.
Phoong berkata dia "jijik dan marah" terhadap tuduhan ke atasnya dan menyifatkan kenyataan Tei sebagai "pemesongan fakta sepenuhnya."
"Saya telah segera mendapatkan nasihat peguam saya dan sedang bersiap untuk memulakan tindakan undang-undang bagi mempertahankan reputasi dan integriti saya.
"Kenyataannya tentang apa yang dibincangkan ketika satu-satunya perbualan kami adalah pemesongan fakta sepenuhnya, sama sekali tidak berasas, dan sangat mengelirukan. Kenyataan sedemikian menjurus kepada tindakan pembunuhan karakter yang sangat berniat jahat dan fitnah melalui pemalsuan maklumat.
"Saya perlu menyatakan dengan jelas bahawa saya tidak pernah memulakan sebarang pertemuan dengannya, dan saya juga tidak pernah membuat kenyataan seperti 'siapa yang tidak suka wang?' atau seumpamanya," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut laporan China Press, Tei berkata dia telah dijemput untuk bertemu Phoong oleh setiausaha politiknya, Chan Long Wei, didakwa untuk bertanya mengenai skandal perlombongan Sabah.
Tei mendakwa Phoong telah bertemu dengannya secara peribadi untuk membincangkan isu lesen perlombongan dan menuduhnya tidak melaporkan perkara itu kepada SPRM, walaupun sedar ia melibatkan rasuah.

“Apabila Phoong baru sahaja memegang jawatan sebagai menteri Sabah, dia tahu tentang peruntukan tersebut. (Ketua Menteri Sabah Hajiji MD Noor) akan memberikan setiap menteri atau wakil parti lesen perlombongan yang relevan dan dia tahu tentang ini, jadi dia panggil saya untuk bertemu dengannya dan bertanya tentang peruntukan ini.
“Saya bersumpah kepada Tuhan, dia berkata kepada saya, ‘siapa yang tidak mahu wang?’ Jika dia tidak berkata demikian, dia boleh saman saya.
“Saya kemudian mencari maklumat dan dapati Hajiji enggan beri lesen kepada DAP kerana dia tidak mahu parti itu tahui proses penuh atau cara sistem itu berfungsi. Dia takut DAP mungkin dedahkannya. Saya tahu Hajiji tidak beri lesen kepada DAP, jadi saya tidak lagi menghubunginya," kata Tei seperti dipetik.
Tei bagaimanapun berkata dia tidak memberikan wang kepada Phoong—seperti yang dilakukannya kepada sejumlah ahli politik lain.
‘Tei cuba pujuk’
Phoong yang merupakan bekas Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah berkata dia hanya bertemu Tei sekali iaitu pada 22 Mac 2023 dan menegaskan ia bukanlah pertemuan yang diatur lebih awal, tetapi Tei sendiri yang tetap ingin bertemunya.
Phoong juga berkata dia tidak mengenali Tei secara peribadi.
Semasa pertemuan itu, dakwanya, Tei cuba memujuknya untuk meluluskan penubuhan sebuah syarikat konsesi bagi menguruskan eksport besi buruk Sabah.
"Setelah dengan cermah mengesahkan garis masa pada hari itu dan menyemak rekod mesej saya dengan setiausaha politik saya, faktanya jelas - Tei tetap ingin berjumpa saya walaupun tiada janji temu ditetapkan, dengan menyatakan yang pertemuan singkat pun sudah memadai.
"Semasa pertemuan itu, selain membangkitkan perkara berkaitan perlombongan, Tei juga cuba memujuk kami untuk meluluskan penubuhan syarikat konsesi bagi secara eksklusif menguruskan eksport besi buruk Sabah," dakwa Phoong.
Selepas pertemuan itu, kata Phoong, persetujuan sebulat suara dicapai yang cadangan Tei tidak dapat diterima, dan tiada tindakan susulan dibuat selepas itu.
"Kebenarannya adalah seperti yang Tei sendiri nyatakan dengan jelas, saya tidak pernah ambil wang daripadanya. Saya mahupun DAP tidak pernah terlibat dalam sebarang proses yang berkaitan dengan hal perlombongan Sabah dan kami juga tidak pernah setuju dengan penubuhan mana-mana syarikat yang bertujuan untuk memonopoli eksport besi buruk Sabah,” katanya lagi.
