Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Di tengah lambakan filem seram, Pangku angkat realiti kemiskinan

Ketika dunia perfileman Indonesia dipenuhi dengan filem genre seram, pelakon dan pengarah Reza Rahadian memilih untuk mengangkat isu kemiskinan dengan pendekatan realistik dalam filem sulungnya, Pangku.

“Saya percaya setiap kisah mempunyai tempatnya yang tersendiri, dan dari situ saya percaya pasti ada penonton untuk filem ini.

“Untuk pengarah baru, apa yang penting adalah melakukan apa yang awak percaya,” katanya semasa sidang media tayangan perdana Pangku di TGV Pavilion Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada minggu lalu.

Dia juga mengimbas kembali kata-kata pengarah tersohor Indonesia, Joko Anwar - yang terkenal dengan karya genre seram - kepadanya bahawa Pangku merupakan satu “penanda aras baru (game changer)” dalam dunia perfileman republik itu selepas ia berjaya mencatat jualan lebih 560,000 tiket.

Filem genre seram dari Indonesia sering kali mendominasi carta di pawagam serta platform penstriman. Sambutan hangat tersebut juga dilihat mendorong kerjasama dengan penerbit Malaysia, antaranya seperti filem Pengabdi Setan, KKN di Desa Penari dan Makmum.

Sepanjang tahun ini, antara filem seram Indonesia yang popular di Malaysia adalah Qodrat 2, Kitab Sijjin & Illiyyin serta Danyang Wingit: Jumat Kliwon, yang masing-masing mencatat jumlah tontonan memberangsangkan dan menerima ulasan positif.

‘Bukan eksploitasi isu kemiskinan’

Pangku dibintangi barisan pelakon terkenal seperti Fedi Nuril, Claresta Taufan, Devano Danendra dan Christine Hakim dan telah ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 11 Disember lalu.

Berlatarkan Pantai Utara Jawa, Pangku mengisahkan perjalanan hidup Sartika, seorang wanita muda yang hamil dan keseorangan. Dalam usahanya untuk bertahan hidup, Sartika bertemu pasangan warga emas, Maya dan Jaya, yang memberinya perlindungan dan kasih sayang.

Reza Rahadian (dua dari kanan) bersama barisan pelakon Pangku

Selepas melahirkan anak Bayu, Sartika terpaksa menyara hidup di warung kopi “pangku”, di mana pelayan wanita menghidangkan kopi sambil duduk di pangku pelanggan lelaki. 

Dalam perjalanan itu, dia bertemu Hadi, seorang pemandu lori ikan yang melihat sisi lain dalam dirinya.

Kata Reza yang juga pelakon terkenal, dia tidak berminat mengeksploitasi elemen kemiskinan semata-mata untuk meraih simpati penonton.

Menurutnya, karya itu dihasilkan bukan untuk mencetuskan emosi yang berlebihan, sebaliknya bertujuan membuka pemikiran penonton terhadap realiti sosial di Indonesia.

“Penonton mungkin menangis melihat babak kemiskinan, tetapi itu bukan tujuan utama. Saya hanya mahu mereka berfikir selepas menonton filem ini,” katanya.

Menurut Reza, dia dan penulis, Felix K. Nesi menulis skrip Pangku dengan penuh teliti demi memastikan cerita disampaikan secara jujur dan tidak terlalu dramatik.

Katanya, kemiskinan tidak boleh dilihat secara sempit sebagai isu kekurangan pekerjaan semata-mata, sebaliknya berkait rapat dengan faktor struktur yang lebih besar, termasuk keputusan politik.

Fenomena itu menarik minat saya untuk melakukan sesuatu yang baru selepas 20 tahun bergelar pelakon,” katanya.

Bertemu gadis kopi pangku

Reza turut berkongsi pengalamannya bertemu sendiri wanita yang bekerja di warung kopi ‘pangku’  di Pantai Utara Jawa.

“Saya membuat kajian empat hingga enam bulan bersama penulis skrip.

“Apabila saya bertanya jika mereka mempunyai peluang lain untuk bekerja, adakah mereka akan mengambilnya.

“Kebanyakannya berkata mereka tidak pernah mendengar tentang peluang,” katanya.

Menurut bintang filem Habibie & Ainun itu, wanita-wanita tersebut terperangkap dalam kitaran hidup yang sempit dengan pilihan pekerjaan yang hampir tidak wujud, khususnya bagi mereka yang tiada kelayakan pendidikan formal.

“Tiada siapa yang memerlukan gadis-gadis ini. Jadi sangat sukar untuk mereka mendapatkan pekerjaan. Ini adalah satu-satunya perkara yang boleh mereka lakukan,

“Dari penyelidikan itu, kami cuba mengumpulkan semua perkara sosial yang berlaku dalam kehidupan mereka,” katanya.

Reza turut menjelaskan Pangku lahir daripada inspirasi yang amat dekat dengan kehidupannya sendiri, khususnya kisah perjuangan ibunya yang membesarkan dua orang anak sebagai ibu tunggal.

“Naskhah ini umpama surat cinta kepada ibu kerana saya mendapat inspirasi daripadanya.

“Saya melihat kegigihan ibu membesarkan dua orang anaknya. Jadi daripada situ saya berjaya menghasilkan jalan cerita bagi filem Pangku,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS