Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Petronas salur aduan projek LNG kepada rakan kongsi di Kanada
Diterbitkan:  Dec 15, 2025 11:28 PM
Dikemaskini: 4:03 PM

Petronas memaklumkan syarikat minyak itu bekerjasama dengan semua pihak, termasuk masyarakat orang asal, bagi memastikan operasinya di seluruh dunia dijalankan dengan selamat.

Ia susulan laporan bahawa satu projek gas asli cecair (LNG) di Kanada yang melibatkan syarikat itu telah memudaratkan alam sekitar dan memberi kesan sosial.

Petronas berkata syarikat gergasi itu akan menyalurkan laporan yang dikemukakan kepada LNG Canada, yang menguruskan projek di British Columbia untuk mengeksport LNG melalui saluran paip Coastal GasLink (CGL) sepanjang 670 kilometer.

“Petronas menyertai LNG Canada melalui anak syarikatnya, Petronas Canada LNG Ltd (PCLL), sebagai salah satu daripada lima rakan usaha sama, dengan semua perkara berkaitan projek — termasuk penglibatan pihak berkepentingan dan hubungan komuniti — diuruskan melalui syarikat projek, LNG Canada,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan ringkas.

“Petronas akan menyalurkan laporan yang dikemukakan itu kepada LNG Canada untuk semakan dan analisis mereka.

“Petronas terus bekerjasama secara kolaboratif dengan semua pihak — termasuk komuniti Orang Asal — dalam memastikan operasi yang selamat merentasi portfolio Petronas Canada dan PCLL kami,"katanya.

Pada 8 Dis lalu, Malaysiakini melaporkan bahawa dua pemimpin Orang Asal dari British Columbia datang ke ibu pejabat Petronas di Menara Berkembar untuk menyerahkan satu laporan mengenai kemudaratan yang disebabkan oleh saluran paip CGL.

Pemimpin masyarakat Orang Asal itu memberitahu Malaysiakini bahawa Petronas bertanggungjawab terhadap kemudaratan dalam rantaian bekalannya, kerana CGL wujud semata-mata untuk membekalkan LNG ke terminal LNG Canada, yang dikenali sebagai Terminal Eksport LNG Canada Kitimat.

Menurut aduan tersebut, saluran paip CGL berdepan lebih 60 tindakan oleh pengawal selia alam sekitar British Columbia berhubung pemendapan sedimen di sungai dan kerosakan habitat ikan.

Mereka turut mendakwa kerosakan berlaku ke atas tapak suci Wedzin Kwa, yang melanggar hak budaya dan sumber sara hidup masyarakat Wet’suwet’en.

Aduan oleh pemimpin Orang Asal itu juga menyatakan bahawa trafik kapal tangki LNG di fjord Kitimat mungkin meningkat sehingga tujuh kali ganda — walaupun perkara ini belum dinilai secara bebas — dan berpotensi menyebabkan sehingga 18 kematian paus bongkok serta dua paus sirip setiap tahun.

Menurut laporan Amnesty International, saluran paip CGL merentasi wilayah Wet’suwet’en, di mana lebih 5,000 ahli daripada lima klan tinggal, dan hak tanah mereka diiktiraf di bawah undang-undang Kanada.

Puak-puak berkenaan mendakwa Petronas gagal menjalankan ketekunan wajar yang bermakna, walaupun syarikat itu sendiri komited terhadap hak kepada persekitaran yang selamat, bersih, sihat dan mampan.

“Walaupun CGL dan LNG Canada secara terbuka mendakwa bahawa rundingan dengan Orang Asal telah dijalankan, rundingan semata-mata tidak memenuhi ambang undang-undang bagi mendapatkan persetujuan.

“Dalam kes ini, rundingan hanya melibatkan sesi perkongsian maklumat dan perjanjian manfaat dengan majlis band Akta India yang dipilih, yang kuasa mereka dari segi undang-undang terhad kepada tanah rizab.

“Majlis-majlis ini tidak mempunyai bidang kuasa ke atas wilayah tradisional yang lebih luas yang menjadi subjek hak Orang Asal Wet’suwet’en, dan saluran paip tersebut tidak melintasi tanah Rizab India,” jelas aduan itu.

Laporan Amnesty International 2023 mengenai projek tersebut turut mendokumentasikan penahanan pembela tanah, serbuan polis, serta penilaian alam sekitar yang tidak mencukupi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS