Setiap graduan menghadapi cabaran tersendiri sepanjang menempuh kehidupan kampus.
Bagi Anis Atiqah Abd Rahman, 23, perjalanan bagi menggengam segulung ijazah bukanlah suatu tugas yang mudah.
Dilahirkan dengan masalah sumbing (cleft palate), graduan Universiti Putra Malaysia (UPM) itu terpaksa berdepan pelbagai cabaran, termasuk stigma sosial dan kesukaran berkomunikasi, yang pernah menghakis keyakinan dirinya.
Namun, sokongan persekitaran kampus yang inklusif serta jaringan sokongan yang kukuh membolehkannya bangkit dan membuktikan bahawa kekangan fizikal bukan penghalang untuk berjaya dalam bidang akademik dan kepimpinan.
Anis, yang berasal dari Johor, menamatkan pengajian dalam bidang Pengajian Makanan dengan Kepujian dari Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, UPM, dan diraikan pada Majlis Konvokesyen UPM ke-49 yang berlangsung di Serdang baru-baru ini.
Dia memulakan pengajian di UPM pada sesi 2020/2021 menerusi program Asasi Sains Pertanian sebelum melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda selama empat tahun.

Sokongan dari UPM
Menurut Anis, cabaran terbesar yang dihadapinya ialah kesukaran bertutur dengan jelas, terutamanya apabila berhadapan dengan orang ramai.
“Pada awalnya, saya sering rasa segan dan takut untuk bercakap, ada masa saya rasa putus asa kerana bimbang tidak dapat menyesuaikan diri,” katanya kepada Malaysiakini.
Keadaan itu, katanya, menjadi lebih mencabar apabila berdepan stigma dan salah faham segelintir individu yang kurang sensitif terhadap golongan orang kelainan upaya (OKU).
Namun, suasana kampus UPM yang mesra OKU menjadi titik perubahan penting dalam kehidupannya.
“Rakan-rakan, pensyarah serta kakitangan universiti di sini menerima kehadiran saya dengan hati terbuka dan sentiasa bersedia membantu,” katanya.
Menurutnya, sokongan khusus daripada Unit Perkhidmatan dan Sokongan OKU, terutamanya Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) UPM, banyak membantunya membina semula keyakinan diri.
Aktif dalam persatuan
Keyakinan itu mendorong Anis melibatkan diri secara aktif dalam Persatuan Mahasiswa OKU (PMOKU) UPM, sebelum diberi kepercayaan menyandang jawatan Timbalan Presiden.
Melalui penglibatan aktif dalam persatuan tersebut, Anis memperoleh pengalaman mengurus program, memimpin rakan-rakan serta berucap di hadapan khalayak.
“Saya tak pernah bayangkan suatu hari saya mampu berdiri dan bercakap di hadapan orang ramai, apatah lagi menguruskan program bersama persatuan,” ujarnya.

Antara pengalaman paling bermakna bagi Anis ialah penyertaannya dalam program mobiliti ke negara jiran, yang memberinya peluang berinteraksi dengan pelajar dari pelbagai negara serta membina jaringan antarabangsa.
Menurutnya, pengalaman itu mengajarnya untuk lebih berdikari dan yakin membawa diri dalam persekitaran baru, walaupun perlu berhadapan dengan orang awam.
Selain itu, pelbagai aktiviti anjuran PMOKU turut meninggalkan kesan mendalam, termasuk Kem Pembangunan dan Pemantapan Kepimpinan Mahasiswa OKU, Bulan Kampus Inklusif OKU, serta program kebajikan bersama komuniti.
Anis berkata, penglibatan tersebut membuka ruang untuknya menyumbang kembali kepada komuniti OKU serta menyampaikan mesej bahawa golongan OKU wajar diberikan peluang yang adil dan saksama dalam semua bidang.
Bagi Anis, PMOKU bukan sekadar sebuah persatuan, sebaliknya berperanan sebagai sistem sokongan yang penting sepanjang pengajiannya.
Sokongan terbesarnya turut datang daripada bapanya, Abd Rahmad Ahmad, 51 dan ibunya Ardilla Samshuddin, 45 yang menetap di Felda Bukit Permai, Layang-Layang Johor.
“Saya bangga terhadap pencapaian anak saya kerana dia telah gigih berusaha tanpa putus asa walaupun cabaran amat besar,” kata ibunya.
Menurut Anis, kepercayaan dan pengorbanan kedua-dua ibu bapanya menjadi sumber kekuatan untuk terus melangkah maju dan berani untuk mengatasi cabaran.
“Saya percaya apa yang saya lalui bukan satu kekurangan, tetapi keistimewaan yang Tuhan berikan supaya saya lebih mensyukuri nikmat-Nya,” kata Anis yang kini bertugas sebagai penyelaras makmal di sebuah syarikat pengeluar makanan di Tampoi, Johor,
