Semua kenderaan berat tanpa muatan (BTM) atau berat dengan muatan (BDM) melebihi lima tan dan ketinggian melebihi 3.5 meter tidak dibenarkan melalui Jambatan Angkat atau Drawbridge mulai 1 Jan depan.
Ketua Pegawai Eksekutif TI Properties Sdn Bhd Awasi Mohamad berkata langkah berkenaan bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya serta melindungi keutuhan struktur jambatan yang merupakan satu daripada infrastruktur penting dan ikonik negeri.
Beliau berkata tindakan itu selaras dengan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) Seksyen 86(3) yang melarang kenderaan dengan BTM atau BDM lima tan dan ke atas merentasi jambatan angkat.
“Untuk makluman, papan tanda amaran had muatan serta papan kenyataan akta dan undang-undang telah dipasang di jalan-jalan utama ke Jambatan Angkat. Selain itu amaran had ketinggian di skrin LED juga telah dipasang di Jambatan Angkat bagi memastikan pengguna jalan raya sentiasa peka terhadap had muatan ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Awasi berkata kenderaan BTM atau BDM melebihi lima tan dan ketinggian melebihi 3.5 meter perlu menggunakan laluan alternatif iaitu Jambatan Sultan Mahmud dan Jambatan Manir di sini yang merupakan antara laluan penghubung Kuala Nerus dengan pusat bandar Kuala Terengganu.
“Laluan alternatif penyuraian serta kawasan parkir khas terutama bas pelancong yang berkunjung ke Jambatan Angkat turut disediakan. Orang awam dan pengguna jalan raya boleh mendapatkan maklumat lanjut melalui laman sosial rasmi Kuala Terengganu Drawbridge,” katanya.
- Bernama
