Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anak kesal PM lancar buku SM Idris, tak puas hati kes Yusoff Rawther
Diterbitkan:  Dec 16, 2025 2:02 PM
Dikemaskini: 6:22 AM

Anak-anak aktivis terkemuka SM Mohamed Idris menyatakan kekesalan mereka dengan penglibatan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam pelancaran buku mengenang ayah mereka di Kuala Lumpur semalam.

Acara anjuran Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), yang lama dipimpin SM Mohamed, itu malah berlangsung “tanpa kehadiran atau kerestuan zuriat beliau”.

“Ketidakhadiran kami adalah satu manifestasi bantahan yang nyata,” kata tiga anaknya, Ayisha, Fathima dan Khatija dalam kenyataan bersama hari ini.

Mereka berkata pihak keluarga tidak pernah memberikan persetujuan untuk Anwar terlibat dalam apa jua kapasiti berkaitan buku tersebut, “memandangkan kes salah laku DSAI terhadap cucu arwah, Muhammed Yusoff Rawther”.

“Kami telah memaklumkan kepada CAP secara jelas dan berulang kali bahawa kami membantah dan tidak merestui penglibatan DSAI dalam hal ini. 

“Namun, bantahan kami diabaikan sepenuhnya, malah DSAI tetap diraikan dan diberikan peranan utama sebagai perasmi majlis,” kata mereka.

Yusoff Rawther

Anwar dan Yusoff terlibat dalam kes mahkamah berhubung dakwaan serangan seksual. Rayuan Anwar dalam saman sivil itu ditetapkan untuk didengar di Mahkamah Rayuan pada 4 Mac 2026.

Gesa teladani ‘Uncle Idris’

Anwar semalam merasmikan pelancaran buku The Man Who Could Move Mountains: Reflections on the Social Activism of SM Mohamed Idris di International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) Malaysia, Kuala Lumpur.

Turut hadir ialah Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul, Pengerusi IAIS Maszlee Malik dan Pengerusi Bernama Wong Chun Wai.

Anwar berkata dia menjadikan SM Idris sebagai contoh keteguhan seorang aktivis sosial dalam memperjuangkan hak pengguna, landskap sosial dan alam sekitar.

Uncle Idris tidak berpolitik keras, tetapi pandangannya terhadap negeri, negara dan keadilan tetap tegas.

“Sosok SM Idris inilah teladan. Boleh senyum, berbaik dengan semua, tapi tidak pernah berganjak dalam isu pokok dan prinsip.

“Kita perlukan keberanian, keteguhan dan kesederhanaan hidup seperti beliau,” katanya.

Sementara itu, keluarga berkata SM Idris tidak pernah mencari publisiti, sanjungan atau pengiktirafan, apatah lagi menumpang kuasa politik untuk mengabsahkan perjuangannya.

Sepanjang hayatnya, kata mereka, dia menjauhi pentas, gelaran dan kepentingan diri.

Justeru, mereka menyifatkan apa yang berlaku sebagai “penyelewengan nyata terhadap prinsip tersebut, memperalatkan nama dan legasi seorang tokoh berprinsip demi kepentingan institusi dan politik semasa.”

“Ini bukan penghormatan. Ini perampasan legasi ayah kami,” kata Ayisha, Fathima dan Khatija.

Cara hina untuk demi keuntungan politik

Ketiga-tiga anak allahyarham juga berkata, kekecewaan mereka semakin mendalam apabila mendapati poster promosi acara ini turut menyertakan simbol dan logo-logo kerajaan seperti Malaysia Madani, Asean Malaysia 2025, dan Visit Malaysia 2026.

“Tindakan CAP mengaitkan legasi SM Mohamed Idris, seorang aktivis yang terkenal dengan sifat kritikal dan bebas, dengan agenda-agenda kerajaan yang tidak relevan adalah tidak wajar,” kata mereka.

Mereka berkata, ayah mereka tidak pernah dikaitkan dengan inisiatif atau organisasi tersebut.

Justeru, penggunaan logo-logo itu jelas merupakan satu bentuk “komodifikasi dan eksploitasi” nama dan jasanya demi mengukuhkan imej politik Anwar.

“Cara hina untuk mendapatkan keuntungan politik ini adalah amat tercela, kerana ia memberikan gambaran palsu bahawa legasi arwah bersetuju atau bersekutu dengan inisiatif semasa yang tiada kaitan dengannya,” kata mereka.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS