Pemuda PH menegaskan betapa agenda reformasi yang diketengahkan gabungan itu pernah disokong penuh oleh PAS sejak zaman bermulanya reformasi, sama ada ketika era Barisan Alternatif (BA) atau Pakatan Rakyat (PR).
Mengulas kritikan Presiden PAS Abdul Hadi Awang berhubung agenda reformasi oleh pentadbiran Anwar Ibrahim, Ketua Pemuda PH Woo Kah Leong berkata reformasi yang diingini itu adalah berlandaskan prinsip tadbir urus baik dan keadilan sosial.
“Prinsip sebegini diguna pakai seluruh umat manusia, tidak mengira sempadan negara, agama dan kaum.
“Justeru adalah amat janggal untuk Presiden PAS menyerang nilai universal tersebut demi menjatuhkan musuh politik,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang dalam tulisan Minda Presiden semalam menyifatkan reformasi yang ditampilkan kerajaan sekarang dipengaruhi gerakan Barat yang "bergayut teguh terhadap fahaman sekularisme."
Antara lain, dakwa Abdul Hadi, ia disaksikan melalui perkataan itu sendiri yang diimport daripada bahasa penjajah.
“Walaupun mereka maju dari segi kebendaan, mereka runtuh dari segi kemanusiaan sehingga terjerumus ke tahap yang lebih parah daripada binatang yang tidak berakal.
“Kemajuan tersebut membakar diri mereka sendiri, sehingga merosakkan sesama manusia, institusi keluarga dan masyarakat dalam negara sendiri kerana bertuhankan nafsu dan kebendaan semata-mata,” katanya.
Menegaskan hujahnya, Woo mencadangkan agar Abdul Hadi membaca kes mahkamah melibatkan Che Omar Che Soh untuk lebih mengetahui apakah maksud negara sekular khususnya apabila Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan kemajmukan dan kepelbagaian.
“Tidak perlu untuk ‘koyak’ apabila mendengar tentang frasa 'sekular' atau mengaitkan segala-galanya dengan AS.
“Sekular tidak bermaksud kerajaan melarang individu untuk mengamalkan agama masing-masing.
“Malaysia adalah sebuah negara contoh lantaran semua yang mempunyai latar belakang yang berbeza dapat hidup harmoni namun ruang kebebasan rakyat secara lumrahnya menjadi semakin sempit akibat pentadbiran PAS di beberapa negeri.
“Belum sebut lagi bilangan kes dadah yang semakin meningkat di beberapa negeri, yang siapa makan cili dia akan rasa pedas,” ujarnya.
Adun Pasir Bedamar itu juga yakin rakyat berbilang agama menyokong antara satu sama lain untuk memperjuangkan prinsip tadbir urus baik dan keadilan sosial tanpa mengetepikan fahaman agama masing-masing.
Katanya, setiap rakyat hanya mengharapkan cara hidup masing-masing dihormati tanpa campur tangan berlebih-lebihan oleh pentadbiran yang bertunjangkan “wakil Tuhan”.
“Rakyat Malaysia ingin memastikan semangat pembinaan negara yang berasaskan kepelbagaian dihormati.
“Saya masih ingat PAS bersungguh-sungguh menarik sokongan orang bukan Islam dalam muktamar baru-baru ini, namun kenyataan Presiden PAS membuktikan sebaliknya.
"Kalau tidak inginkan reformasi, pastikan pentadbiran di SG4 (empat negeri ditadbir PN) adalah lebih baik, bukannya lebih teruk,” kata Woo lagi.
