FAM menafikan dakwaan ahli jawatankuasa eksekutifnya meletak jawatan beramai-ramai susulan dakwaan ada sesetengah anggota badan itu diminta berundur.
Melabelkan dakwaan tersebut sebagai "tidak benar dan tidak berasas," pemangku Presiden FAM, Yusoff Mahadi, berkata tiada peletakan jawatan beramai-ramai atau pembubaran jawatankuasa eksekutif persatuan terbabit.
Kataya pelantikan dan pemilihan semua anggota jawatankuasa eksekutif FAM dibuat melalui saluran perundangan dan mengikut perlembagaan iaitu proses pengundian Kongres FAM.
“FAM menegaskan bahawa struktur kepimpinan sedia ada terus menjalankan tanggungjawab dan mandatnya dengan penuh komitmen untuk memastikan kesinambungan tadbir urus dan pembangunan bola sepak negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Yusoff, FAM juga kekal komited untuk beroperasi secara telus, profesional dan berintegriti demi bola sepak Malaysia.
Kenyataan Yusoff itu muncul selepas Harian Metro awal hari ini melaporkan bahawa barisan jawatankuasa eksekutif FAM diminta untuk meletak jawatan semasa mesyuarat yang diadakan di Kelana Jaya semalam.
Memetik sumber, laporan itu mendakwa mesyuarat berkenaan membincangkan dapatan jawatankuasa bebas yang ditubuhkan oleh FAM untuk menyiasat isu yang melibatkan tujuh pemain Harimau Malaya, terutamanya dakwaan pemalsuan dokumen kewarganegaraan mereka.
Menegaskan bahawa penemuan penuh jawatankuasa bebas itu telah diserahkan kepada FAM, laporan itu menynebut walaupun terdapat cadangan untuk jawatankuasa eksekutif FAM yang akan meletak jawatan, tidak semua yang hadir dalam mesyuarat itu bersetuju.
Jawatankuasa bebas yang diketuai oleh bekas Ketua Hakim Negara, Md Raus Sharif, dan tidak melibatkan individu dari FAM sebagai sebahagian daripada usaha untuk memastikan siasatan berjalan secara adil, telus dan profesional.
