Siasatan polis terhadap kes tembakan maut melibatkan tiga lelaki yang disyaki perompak di Durian Tunggal, Melaka bulan lalu telah diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh.
Jabatan Peguam Negara (AGC) mengeluarkan arahan itu pada hari ini selepas meneliti laporan yang dikemukakan polis berhubung kes berkenaan.
“Jabatan Peguam Negara telah dirujuk dengan laporan kes tiga lelaki ditembak mati di Melaka oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Berdasarkan taklimat dan cadangan yang dikemukakan oleh PDRM, Jabatan ini bersetuju dan mengarahkan agar siasatan diklasifikasikan semula di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi kesalahan bunuh.
"Penelitian awal Jabatan ini mendapati beberapa tindakan lanjut masih perlu diambil oleh PDRM bagi melengkapkan siasatan sebelum apa-apa jua keputusan muktamad dibuat,” kata jabatan itu pada satu kenyataan.
Pada 24 Nov, polis menembak mati tiga lelaki berusia antara 24 hingga 29 tahun selepas seorang daripada mereka didakwa menggunakan parang menyerang seorang anggota polis di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal.
Dzulkhairi mempertahankan tindakan pasukannya dengan mendakwa insiden itu menyebabkan seorang koperal berusia awal 30-an mengalami kecederaan parah di lengan kirinya.
Bagaimanapun, peguam yang mewakili keluarga mangsa menolak versi kejadian yang dikemukakan polis, dengan peguam Rajesh Nagarajan menggesa agar anggota polis yang melepaskan tembakan maut terhadap tiga lelaki itu didakwa atas tuduhan membunuh.
‘Kenapa tiada tangkapan?’
Sementara itu, sebagai respons terhadap pengumuman Jabatan Peguam Negara (AGC), Rajesh mempersoalkan mengapa polis masih belum menangkap anggota yang terlibat dalam insiden tembakan tersebut.
Menurutnya, kebiasaannya polis akan membuat tangkapan dan memohon perintah reman terhadap mana-mana suspek yang disiasat atas kesalahan bunuh.
“Apa yang kamu tunggu? Aktivis dan peguam terpaksa bekerja keras untuk mendesak dan merayu supaya pihak berkuasa mengambil tindakan. Mengapa anggota polis ini mendapat layanan istimewa sebegini?” katanya.
Rajesh turut berkata tidak munasabah untuk membenarkan polis menyiasat anggota mereka sendiri, dan menggesa supaya sebuah badan penguatkuasaan luar dilantik bagi memantau agensi tersebut.
[Berita penuh menyusul]
