Perjalanan menuntut ilmu bukan sekadar tentang kejayaan akademik, tetapi juga mengenai kekuatan jiwa dalam menghadapi kehilangan, cabaran fizikal dan tuntutan kehidupan.
Itulah yang dibuktikan oleh An-Zurie Ayesya Abu Johan, graduan Ijazah Sarjana Komunikasi Korporat di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM) sempena konvokesyen ke-49 baru-baru ini.
Dilahirkan dan dibesarkan di Kuala Lumpur, An-Zurie, 33, bukanlah asing dengan dunia komunikasi. Minat dan kecenderungannya terhadap bidang itu terbentuk secara semula jadi hasil pendedahan awal dalam keluarga.
Arwah ibunya, Prof Madya Dr Aida Nasirah Abdullah, merupakan tokoh akademik dalam bidang komunikasi dan alumni UPM sendiri. Selepas menamatkan pengajian sarjana di fakulti yang sama, dia melanjutkan pengajian peringkat PhD di University of Otago, New Zealand.
“Selepas menamatkan pengajian Bacelor Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), saya mula bekerja dalam bidang komunikasi.
“Apabila melihat latar belakang Mama dan perjalanan akademiknya, memilih untuk menyambung pengajian di UPM terasa sangat natural,” kata An-Zurie kepada Malaysiakini.
Namun, perjalanan sarjananya bukanlah laluan yang mudah. Sebagai seorang pelajar yang bekerja sepenuh masa, cabaran terbesar ialah membahagikan masa.
Pastikan tiada tertinggal
Setiap hari, An-Zurie terpaksa bergegas dari tempat kerja ke kelas yang berlangsung selama tiga jam, dan sering kali menyambung perbincangan tugasan sehingga ke tengah malam sebelum memulakan rutin kerja semula keesokan harinya.
Keadaan menjadi lebih mencabar apabila dia terlibat dalam kemalangan yang menyebabkan pergerakan fizikalnya terhad, manakala tangan kanan tidak dapat digunakan sepenuhnya.
Ketika itu, sokongan rakan sekelas dan pensyarah menjadi kekuatan. Pihak fakulti turut bertimbang rasa dengan menyediakan komputer riba agar dia dapat menduduki peperiksaan tanpa perlu menulis secara manual.
“Pensyarah dan rakan-rakan sangat memahami situasi saya. Mereka tidak pernah membuat saya rasa terbeban atau tersisih,” katanya dengan penuh syukur.

Antara individu yang paling rapat sepanjang pengajian itu ialah Faizah Jaafar, 46, dari Selangor, rakan sekursus yang mula sekelas dengannya sejak semester kedua.
Hubungan mereka terjalin erat kerana saling menyokong dan memastikan tiada siapa yang ketinggalan dalam perjalanan mereka menggapai impian.
Selain itu, Fatin Nabilah, 33, dari Kuala Lumpur, sahabat sejak zaman ijazah di UIAM, turut menjadi sumber inspirasi melalui tunjuk ajar dan keteguhan prinsip hidupnya.
“Mereka sentiasa memberikan motivasi dan doa supaya saya terus kuat menghabiskan pengajian saya di UPM,” katanya.
Orang paling teruja
Insan yang tidak pernah jemu memberi dorongan ialah penyelia tesisnya, Mohd Feroz Shah De Costa, yang sejak semester pertama mengambil pendekatan yang membuatkan dia berasa selesa dan yakin.
Selepas kemalangan, galakan dan kata-kata semangat Mohd Feroz pula menjadi pendorong utama untuk An-Zurie terus menghabiskan tesisnya.
Namun, ujian paling berat hadir apabila An-Zurie kehilangan insan paling disayangi — ibunya, yang meninggal dunia akibat serangan kanser kali kedua pada 2024.
Aida Nasirah meninggal dunia di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Wangsa Maju.

Menceritakan detik itu, An-Zurie berkata, berita yang diterimanya seperti dalam mimpi dan sukar dipercayai.
Justeru semasa dalam perjalanan ke hospital, katanya, dia tidak mengalirkan air mata sama sekali.
"Tetapi sehingga kini, perasaan kehilangan itu masih menebal.
“Pada hari konvokesyen pula, saya tercari-cari bayangan Mama dalam kalangan ibu bapa alumni.
“Dialah orang yang paling teruja apabila saya beritahu mahu sambung belajar di alma maternya,” kata An-Zurie dengan penuh emosi.
Pada masa sama pesanan terakhir arwah ibunya sentiasa menjadi pegangan hidup An-Zurie. Dia bertegas untuk selalu menjaga diri, ingat Tuhan dan menjaga orang di sekeliling.
Apabila rindu, An-Zurie akan mengenakan perhiasan kegemaran ibunya atau memastikan barang-barang peninggalan arwah sentiasa tersusun rapi. Kenangan berkaraoke bersama setiap pagi Ahad kekal menjadi memori terindah yang menguatkan semangatnya

Turut tidak kurang pentingnya ialah suami yang menjadi tunjang kekuatan An-Zurie, Ahmad Fahmie Amir, yang bekerja dalam bidang perkhidmatan pelanggan dan sentiasa berada di sisi ketika susah mahupun senang.
Menurutnya, Ahmad Fahmie, 36, sentiasa menyokong apa jua keputusan yang dibuat. Kerana itu ketika An-Zurie ingin meneruskan perjalanan akademiknya hingga ke tahap PhD, si suami tidak membantah.
“Dia mendengar setiap rintihan, mengingatkan saya untuk bersabar, bersyukur dan tidak berputus asa,” katanya.
Kini, An-Zurie berkhidmat dalam sektor kewangan, namun kejayaan akademiknya di UPM menjadi bukti bahawa halangan fizikal, tekanan emosi dan kehilangan bukanlah pengakhiran sebuah impian.
Sebagai pesanan kepada pelajar lain, dia menegaskan bahawa rasa tertekan dan murung adalah lumrah dalam kehidupan seseorang, justeru ia boleh ditangani dengan cara yang betul.
“Ambil masa untuk berehat dan healing tapi jangan lupa untuk kembali fokus kepada matlamat.
“Jangan malu untuk minta bantuan dan sentiasa percaya pada diri sendiri,” katanya.
