Susulan kritikan Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari berhubung janji reformasi kerajaan Madani, Naib Ketua Pemuda PKR (AMK) Nabil Halimi tampil mempertahankan pelaksanaan reformasi kerajaan, sambil menyindir prestasi wakil rakyat pembangkang itu sebagai “menteri bayangan” Belia dan Sukan Perikatan Nasional (PN).
Dalam satu kenyataan, Nabil secara sinis mengucapkan “takziah” kepada Ahmad Fadhli dan mendakwa sepanjang memikul peranan tersebut, Ahli Parlimen Pasir Mas terbabit gagal mengemukakan sebarang idea nasional yang konstruktif berkaitan portfolio belia dan sukan.
Nabil juga turut menyifatkan kabinet bayangan PN sebagai sekadar “bayang-bayang tanpa isi”.
“Sewajarnya saudara Fadhli sebagai menteri bayang-bayang Kementerian Belia dan Sukan memberikan pandangan terhadap usaha kerajaan Madani memberikan ruang kepada anak muda untuk berkhidmat dengan pelantikan (ahli Parlimen Sungai petani) Taufiq Johari yang berusia 29 tahun sebagai Menteri Belia dan Sukan serta (ahli Parlimen Miri) Chiew Choon Man yang berusia 34 tahun sebagai Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya.
“Pelantikan ini membuktikan AMK di bawah kepimpinan (Ketua AMK) saudara Kamil Munim sangat agresif dalam memperkasakan peranan belia dalam pentadbiran kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Nabil berkata demikian mengulas sindiran Ahmad Fadhli bahawa reformasi akhirnya dikuburkan secara rasmi.
Kritikan Ahmad Fadhli itu hadir selepas Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan barisan anggota kabinet baru, dengan secara spesifik merujuk jawatan Menteri Kewangan yang kekal dipegang Anwar.
“Kabinet baru akhirnya diumumkan. Perdana menteri masih (menjadi) menteri kewangan.
“Janji penting ‘reformasi’ akhirnya dikuburkan secara rasmi. Takziah,” katanya di media sosial, semalam.
Rombakan kabinet besar-besaran itu antara lain menyaksikan dua menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) digugurkan dari kabinet iaitu Dr Zaliha Mustafa (Wilayah Persekutuan) dan Mohd Na'im Mokhtar (agama).
Mengulas dakwaan bahawa reformasi terkubur kerana Anwar yang juga Presiden PKR itu kekal memegang jawatan Menteri Kewangan, Nabil menegaskan bahawa kerajaan Madani telah melaksanakan reformasi besar dan berani sepanjang tiga tahun pentadbiran perdana menteri itu.
Antara reformasi yang disenaraikannya termasuk penyasaran subsidi, peluasan cukai tanpa melibatkan barangan dan perkhidmatan asas, pelaksanaan gaji minimum, kenaikan gaji penjawat awam serta pengukuhan disiplin fiskal dan kawalan hutang negara.
“Kementerian Kewangan juga agresif dalam melakukan reformasi perundangan dan tata kelola yang baik seperti pelaksanaan Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA) bagi mendisiplinkan perbelanjaan kerajaan, Rang Undang-Undang Perolehan Kerajaan bagi menghadkan kuasa menteri kewangan dengan mekanisme semak dan imbang, Rang Undang-Undang Kredit Pengguna bagi mengawal selia industri kredit serta Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan awam bagi mengurangkan karenah birokrasi,” katanya.
Menurut Nabil, hasil reformasi tersebut menyaksikan ringgit mengukuh ke paras tertinggi dalam tempoh empat tahun, kadar pengangguran terendah dalam sedekad, inflasi terendah dalam 51 bulan, defisit fiskal menurun kepada 3.8 peratus berbanding 5.5 peratus pada 2022, selain pengurangan hutang baharu negara.
“Reformasi bukan sekadar pertukaran jawatan atau simbol tetapi ianya berkaitan iltizam orang yang diberi tanggungjawab untuk membaiki sistem pentadbiran, memperkukuh tatakelola kewangan dan memastikan akauntabiliti kuasa dilaksanakan dengan konsisten,” katanya.
Sehubungan itu Nabil turut mencabar Fadhli agar menjelaskan idea yang boleh mengimbangi portfolio Belia dan Sukan.
“Jika tiada, andai kata PN menjadi kerajaan jangan sesekali saudara mengambil jawatan ini kerana bimbang terkubur kementerian ini bersama saudara,” tambahnya.
