Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Peguam Tei ulangi desakan dedah rakaman serbuan SPRM
Diterbitkan:  Dec 17, 2025 5:31 PM
Dikemaskini: 9:31 AM

Seorang peguam Albert Tei mengulangi gesaan supaya pihak berkuasa mendedahkan rakaman video yang mendokumentasikan serbuan ke atas rumah ahli perniagaan terbabit di Puchong, Selangor pada bulan lalu.

Menyasarkan dakwaan terkini Ketua Polis Selangor, Shazeli Kahar, bahawa polis masih belum menemukan bukti pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengacukan senjata ke arah Tei dan isterinya, Lee Pei Rie, peguam Mahajoth Singh berkata pertikaian itu boleh diselesaikan dengan mendedahkan rakaman berkenaan.

“Perkara ini boleh diselesaikan dengan segera dan muktamad dengan mendedahkan rakaman itu kepada orang awam yang berhak tahu apa sebenarnya berlaku semasa serbuan tersebut.

“Tiada justifikasi sah untuk menahan rakaman berkenaan dan pada masa sama mengeluarkan kenyataan awam yang meragui aduan tersebut,” kata Mahajoth dalam kenyataan hari ini.

Dia turut menyifatkan kenyataan Shazeli pada 15 Dis lalu sebagai “pramatang dan tidak wajar” sambil dengan menegaskan yang saksi utama serbuan — termasuk Lee, ibunya dan seorang pembantu rumah — hanya dirakam keterangan mereka semalam.

“Lebih penting, semasa sesi soal siasat semalam, pegawai polis menunjukkan imej pegun yang diambil daripada kamera badan yang digunakan pegawai SPRM semasa serbuan.

"Ini pengesahan kritikal bahawa rakaman kamera badan memang wujud.

“Namun tiada rakaman kamera badan ditunjukkan, sama ada kepada anak guam saya atau ahli keluarga atas alasan yang masih tidak dijelaskan,” kata Mahajoth.

Albert Tei

Dia juga menegaskan keengganan berterusan pihak berkuasa mendedahkan rakaman serbuan berkenaan “tidak selaras dengan sebarang tujuan penyiasatan yang sah”, dan hanya “melemahkan sebarang tuntutan terhadap ketelusan”.

“Oleh itu tiada asas undang-undang untuk terus menahan peranti penyah kod yang dirampas dari kediaman anak guam saya. Ia mesti dipulangkan serta-merta.

"Rakaman CCTV dan rakaman kamera badan juga perlu didedahkan tanpa berlengah,” tambahnya.

Dalam serbuan pada 28 Nov itu, sekumpulan pegawai SPRM bersama kelengkapan taktikal — termasuk jaket kalis peluru dan balaclava — menggari Tei sebelum mengiringinya masuk ke sebuah sedan hitam tanpa tanda.

Semalam, Tei mengulangi gesaannya supaya rakaman CCTV serbuan didedahkan sambil menegaskan kenyataan Shazeli adalah “tidak selari dengan fakta”.

Pada 15 Dis, Shazeli dilaporkan berkata dapatan awal daripada keterangan pegawai SPRM yang terlibat tidak menunjukkan sebarang bukti senjata diacukan ke arah pasangan terbabit.

Dia menambah polis turut memperoleh rakaman CCTV dari kediaman berkenaan, serta rakaman perbualan telefon, yang telah dihantar ke unit forensik untuk pemeriksaan dan analisis lanjut.

Lee sebelum ini membangkitkan kebimbangan mengenai cara operasi dijalankan, mendakwa pasukan serbuan menceroboh masuk melalui pintu utama sebelum beberapa orang menggari Tei.

Dia juga membuat laporan polis mendakwa pegawai SPRM mengacukan senjata ke arah mereka berdua semasa serbuan.

Peguam Rajesh Nagarajan dan Sachpreetraj Singh - yang mewakili Lee - kemudian menuntut SPRM mendedahkan rakaman CCTV yang dirampas tanpa sebarang pengubahsuaian.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki seterusnya menafikan pegawainya mengacukan senjata ke arah Tei dan isterinya.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS