Seorang peniaga dan seorang pemandu lori ais masing-masing didenda RM4,000 oleh Mahkamah Sesyen Kangar hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan pilihan memperdaya seorang wanita melibatkan wang sumbangan berjumlah RM800.
Hakim Nu’aman Mahmud Zuhudi turut memerintahkan Azizi Ahamad, 50, dan pemandu lori ais, Syaharizul Sahar, 46, menjalani hukuman penjara empat bulan bagi kedua-dua pertuduhan jika gagal membayar denda berkenaan.
Hukuman denda RM2,000 dan penjara dua bulan turut dikenakan jika gagal membayar denda bagi setiap pertuduhan pilihan.
Kedua-dua lelaki terbabit didakwa bersama-sama memperdaya mangsa berusia 32 tahun itu bahawa wang sumbangannya akan diserahkan kepada orang kampung di Kampung Bakau berhubung perojek naik taraf jalan, sedangkan wang itu tidak diserahkan seperti dijanjikan.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu pada jam 12.15 tengah hari, 3 Sept 2004 dan kira-kira 4.25 petang 4 Sept tahun sama di Kampung Bakau. Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau didenda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, wanita itu pergi ke Tapak Projek Kampung Bakau di Kangar untuk berjumpa dengan Azizi dan Syaharizul pada jam 12.15 tengah hari, 3 Sept 2024.
Semasa perjumpaan itu, mangsa menyerahkan dokumen siap kerja iaitu Kerja-Kerja Naik Taraf Premix Jalan Tepi Sungai di Kampung Bakau kepada Azizi untuk mendapatkan tandatangannya selaku Pengerusi Majlis Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (MPKK) bagi proses tuntutan bayaran kerja di Bahagian Pentadbiran Daerah, Kerajaan Negeri Perlis.
Dalam perjumpaan itu, Syaharizul meminta wang daripada mangsa bagi pihak Azizi sebanyak RM1,000 atas alasan untuk memberikan sumbangan kepada orang kampung berkenaan.
Wanita itu kemudian memberikan RM300 kepada Azizi, namun Syaharizul memberitahu mangsa bahawa wang itu tidak mencukupi.
Sehari kemudian wanita terbabit hadir di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perlis dan pegawai SPRM membuat rakaman suara (taping) ke atas nombor telefon Azizi.
Hasil taping itu, Azizi bersetuju menerima RM500 sebelum wang perangkap diserahkan kepada suami wanita berkenaan bagi tujuan penyerahan kepada Azizi.
Semasa tangkapan, wang perangkap tersebut berada dalam poket seluar sebelah kanan Azizi.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Ahmad Fariz Abdul Hamid dan Pegawai Pendakwa SPRM Perlis, S Sujatha, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Syed Muhammad Anwar Syed Lokman Hakim dan Nur Ayuni Ahmad.
- Bernama
