Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ULASAN | Jadikan Hangzhou medan padam episod hitam Bangkok

ULASAN SUKAN | Jika Bangkok sudah menghampakan pemain badminton negara, kenapa tidak memilih Hangzhou pula untuk menjadi medan menebus detik kecewa itu?

Mungkin faktor seumpama ini yang sedang berlegar dalam minda lima pasangan utama beregu negara yang memulakan cabaran di Pusingan Akhir Jelajah Dunia yang bermula hari ini.

Ia juga kejohanan penamat musim kalendar BWF yang menawarkan hadiah lumayan AS$3 juta (kira-kira RM12 juta).

Dari mana agaknya akan datang gelaran kita di Hangzhou nanti? Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Man Wei Chong-Tee Kai Wun (beregu lelaki), Pearly Tan-M Thinaah (beregu wanita) atau pun Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (beregu campuran)?

Terlupa pula - ada satu lagi wakil negara iaitu pasangan beregu campuran, Goh Son Huat dan isterinya, Shevon Jemei Lai.

Cuma yang diragui ialah kekuatan mental dan fizikal setiap pemain selepas kepenatan beraksi di Sukan SEA baru-baru ini. Tidak dinafikan ada antara mereka nampak seperti sudah kekeringan tenaga.

Cuma pingat emas daripada Pearly-Thinaah menjadi penawar duka bagi kita di Bangkok. Pasangan beregu wanita nombor dua dunia itu berjaya menamatkan kemarau 10 tahun dalam acara berkenaan.

Biar BAM beri jawapan

Namun, mereka juga tetap bergelut mencari rentak sebelum dapat menewaskan pasangan Indonesia, Feb Dwipuji Kusuma- Meilysa Trias Puspitasari. Lawan mereka itu juga nyaris mahu menang dalam perlawanan akhir pada Ahad lalu.

Impak tidak berhenti-henti bertanding dalam Siri Super dan kejohanan utama lain sejak Jan lalu akhirnya memberi kesan kepada kekuatan pasangan negara. Wajah keletihan sesekali terpancar, begitu juga kepada rakan-rakan beregu yang lain.  

Tetapi kenapa memilih Sukan SEA ketika mengerti Pusingan Akhir Jelajah Dunia BWF sudah hampir? Kenapa tidak berehat saja selepas Terbuka Australia?

Macam serba salah pula mahu menjawab soalan-soalan seperti ini. Kita pun sebagai peminat tidak tahu apakah situasi sebenar. Justeru lebih wajar kita hentikan saja perdebatan panas ini.

Biarlah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang memberikan jawapan. Pelbagai spekulasi ataupun andaian tidak akan banyak menguntungkan kita dalam saat-saat seperti ini.

Anggap sajalah pemain lawan beraksi lebih baik daripada wakil negara kita pada edisi kali ini.

Dalam senario sekarang, adalah lebih baik kita secara berkolektif meniupkan semula semangat perjuangan setiap pemain negara untuk menyerlah di Hangzhou. Itu lebih penting dan mesti dijadikan keutamaan.

Pada saat-saat seperti ini lima pasangan beregu negara kita amat memerlukan sokongan kita. Mereka tidak bersalah hanya kerana turun beraksi di Sukan SEA. Itu misi khidmat untuk negara.

Agaknya mereka mungkin hilang ruang untuk berfikir secara realistik pada ketika itu.

Sebagai pemain profesional dan berpengalaman, Aaron-Wooi Yik, Wei Chong-Kai Wun dan Pearly-Thinaah serta Tang Jie-Ee Wei harus dapat mengawal diri sekarang, dan bijak melayan emosi agar tidak berlebihan.

Sebagai jaguh, apabila kita jatuh, kita juga harus belajar untuk bangkit segera.

Selepas ribut mula reda

Perwatakan seperti itu yang kita mahu lihat melekat kuat dalam minda mereka pada setiap halangan di Hangzhou, khususnya semasa berdepan gelora ganas dari China, Korea Selatan atau pun Jepun. Atau pun juga Indonesia.

Di sini, ia bukan lagi soal status atau ranking dunia tetapi keyakinan dan semangat mahu membuktikan sesuatu.

Tidak seperti sasaran empat emas di Sukan SEA, permintaan atau harapan di Pusingan Akhir Jelajah Dunia ialah, sudah cukup bagus andai kita dapat pulang membawa satu kejuaraan daripada tiga sektor acara beregu.

Untuk makluman, tiada seorang pun wakil kita dalam acara perseorangan lelaki dan wanita dalam kejohanan terakhir dan termahal di kalendar BWF itu.

Bagi pemain beregu, segala impian yang ada tidak mustahil dicapai. Hal itu kerana mereka semua bukan pemain berstatus kecil, malah sudah membuktikan menjadi antara pasangan digeruni di pentas dunia sekarang.

Pengalaman sudah menebal pada diri masing-masing. Cuma yang penting pada saat ini ialah mengembalikan segera kekuatan mental dan yakin pada diri.

Nampaknya ‘ribut’ pun sudah mula reda susulan kegagalan skuad negara menepati sasaran empat pingat emas di Sukan SEA. Begitu juga reaksi agak emosi ditunjukkan oleh Rexy Mainaky mahu meletakkan jawatan sebagai orang yang bertanggungjawab di atas persembahan hambar di Thailand.

Presiden BAM, Tengku Zafrul Abdul Aziz, pun sudah memberikan pandangannya tempoh hari. Dia masih menyebelahi Rexy yang juga pengarah kejurulatihan beregu negara.

“Saya menghargai kenyataan beliau yang bersifat terus terang. Tapi pendirian saya jelas. Kami tetap mahukan Rexy,” katanya melalui ciapan di media sosial.

Pada firasatnya, kegagalan di Bangkok tidak akan memadamkan kejayaan besar dicapai pemain negara tahun ini. Dia mengutarakan kejayaan beregu campuran kita menjuarai gelaran dunia dan buat julung kali dalam sejarah, beregu wanita kita layak ke final Kejohanan Dunia.

Dengan sokongan moral yang kuat daripada pemimpin persatuan, tidak mungkin pemain negara mahu mengalah lebih awal di China.

Dalam diam-diam, mereka sebenarnya pasti mahu memadamkan episod hitam di Bangkok.

Selamat berjuang 10 wira dan srikandi kita.  


V ASHOK ialah bekas Pengarang Sukan dan Pengarang Berita Luar Negara di Berita Harian.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS