Rombakan kabinet yang diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim semalam dilihat sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengekalkan kestabilan dalam PKR dan gabungan kerajaan.
Perunding politik Adib Zalkapli menegaskan bahawa rombakan kabinet secara besar-besaran itu menyaksikan kenaikan pangkat beberapa pemimpin PKR yang bersekutu dengan bekas timbalan presiden PKR Rafizi Ramli, yang meletak jawatan pada Mei susulan kekalahannya dalam pemilihan parti itu.
"Kita dapat melihat percubaan oleh perdana menteri untuk menyatukan semula PKR selepas pemilihan parti yang lalu dengan kenaikan pangkat sekutu Rafizi dalam kabinet,” kata Adib yang juga pengarah urusan Hal Ehwal Global Viewfinder itu.
Ahli Parlimen Johor Bahru Akmal Nasir dinamakan sebagai Menteri Ekonomi, sekali gus mengisi kekosongan yang ditinggalkan Rafizi. Akmal yang juga ahli majlis pimpinan pusat PKR itu sebelum ini berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air.
Ahli Parlimen Ledang Syed Ibrahim Syed Noh, yang dikenali sebagai sekutu kuat Rafizi turut membuat penampilan sulungnya di peringkat eksekutif melalui pelantikannya sebagai Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar.
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar sebelum ini diterajui oleh bekas naib presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad, yang meletak jawatan sebagai menteri beberapa jam selepas Rafizi mengumumkan langkahnya meninggalkan kabinet.
Urus dinamik PKR
Profesor madya sains politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Syaza Shukri berpendapat bahawa barisan anggota kabinet terbaru itu merupakan sebahagian daripada usaha Anwar, sebagai Presiden PKR dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), untuk menguruskan "dinamik" dalam gabungan itu.
Dia menekankan bahawa walaupun penyertaan Naib Presiden PKR, R Ramanan, dalam kabinet sebagai Menteri Sumber Manusia menimbulkan persoalan, keputusan itu mungkin boleh dikaitkan dengan “penghargaan kesetiaan”.

"(Menteri Pendidikan) Fadhlina Sidek yang masih ada (dalam kabinet) walaupun terdapat kritikan juga menunjukkan kompromi untuk mengekalkan penyokong setia (Anwar)," kata Syaza.
Ramanan, yang merupakan bekas Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, sering menjadi sasaran Rafizi, dengan kredibiliti bekas menteri MIC itu dipertikaikan sambil menyindir dakwaan penglibatannya dalam politik wang.
Ramanan sejak itu menafikan dakwaan dia menggunakan politik wang untuk membeli sokongan semasa pemilihan PKR awal tahun ini.
Mengulas pelantikan Arthur Joseph Kurup dari Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) yang merupakan komponen BN sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Adib berkata bahawa langkah itu mungkin sebahagian daripada tindakan perdana menteri yang merupakan serampang dua mata.

"(Kemasukan Arthur dalam kabinet) meningkatkan perwakilan Sabah dalam pentadbiran dan memberi BN talian hayat, bukan sahaja di Sabah, tetapi ia juga membolehkan BN mengatakan bahawa gabungan itu lebih daripada Umno.
"Ia membantu Umno untuk mengatakan bahawa mereka tidak meninggalkan rakan gabungan mereka," katanya.
MCA dan MIC tidak dapat manfaat
Walaupun dia mengakui bahawa masih terlalu awal untuk menentukan bagaimana parti dan gabungan akan menggunakan pelantikan baru untuk kelebihan mereka, pihak yang rugi atau tidak mendapat manfaat dalam rombakan kabinet itu MCA dan MIC.
"Walaupun berbulan-bulan cubaan untuk mengapi-apikan ketegangan politik dalam BN dan kerajaan perpaduan, mereka gagal mendapatkan satu pelantikan pun… PBRS sebaliknya diberi ganjaran dengan jawatan kabinet," kata Adib.
Syaza turut berkongsi pandangan yang sama berkata bahawa walaupun BN merupakan "pemenang" dalam rombakan kabinet itu, MCA dan MIC mungkin terus kecewa dengan ketiadaan ahli parti dalam pentadbiran persekutuan.
"Tetapi, sekali lagi, (MCA dan MIC) tidak boleh mengharapkan banyak apabila mereka mengkritik perdana menteri dan kerajaan," katanya.

Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, MIC dan MCA secara terbuka mempersoalkan kedudukan mereka dalam gabungan itu, mendakwa bahawa mereka telah diketepikan.
Kabinet yang dirombak semula kini menyaksikan PKR memegang bahagian terbesar dengan sembilan jawatan menteri, diikuti oleh Umno dengan tujuh menteri, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan DAP dengan masing-masing lima, Amanah (dua), dan masing-masing satu untuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan PBRS.
Sementara itu, Pengarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia, Mazlan Ali berkata pengumuman kabinet baru itu tidak mengejutkan kerana kebanyakan pelantikan, terutamanya kepada kementerian berprofil tinggi, dibuat daripada kalangan tokoh yang boleh diramal.
Walau bagaimanapun, dia melabelkan pelantikan Marhamah Rosli sebagai timbalan menteri baru di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sebagai mengejutkan dan tidak dijangka.
Terdahulu hari ini, bapa saudara Marhamah, bekas pemimpin PKR dan pendakwah, Badrulamin Bahron mempertahankan lantikan tersebut selepas kritikan dilemparkan kepada Anwar atas pemilihan aktivis itu.
Ahli majlis eksekutif Pemuda Amanah, Ahmad Azri Abdullah, juga mempersoalkan pelantikan Marhamah, dengan menegaskan bahawa perkara itu merupakan tamparan hebat kepada parti itu, yang katanya mempunyai ramai calon yang lebih sesuai untuk jawatan berkenaan.
Azri menyenaraikan Timbalan Presiden Amanah dan bekas Menteri Hal Ehwal Agama, Mujahid Yusof Rawa, Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat, dan Ketua Pemuda Amanah Hasbie Muda sebagai antara tokoh yang layak bagi jawatan itu.
