Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ULASAN | UEC modal politik lama mencabar asas negara bangsa

ULASAN | Selepas lebih 60 tahun merdeka, tuntutan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) bukan sahaja tidak wajar, malah jelas mencabar asas pembinaan negara bangsa Malaysia.

Isu ini sepatutnya sudah lama ditutup, namun sebaliknya terus dihidupkan semula sebagai modal politik murahan tanpa mengambil kira kesan jangka panjang terhadap sistem pendidikan nasional, perpaduan rakyat dan kedaulatan Perlembagaan Persekutuan.

Sejak awal merdeka, negara telah membuat keputusan yang tegas dan berprinsip mengenai hala tuju pendidikan. Laporan Razak 1956 dengan jelas meletakkan asas kepada satu sistem pendidikan kebangsaan yang seragam, menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar, dengan matlamat menyatukan masyarakat majmuk dalam satu kerangka nasional.

Laporan ini bukan dokumen pinggiran, tetapi asas kontrak sosial dalam bidang pendidikan yang dipersetujui oleh semua kaum ketika negara sedang dibina.

Menuntut pengiktirafan UEC hari ini bermakna mempersoalkan semula kesepakatan sejarah. Lebih memburukkan keadaan, tuntutan ini tidak pernah digerakkan atas keperluan pendidikan yang tulen, sebaliknya muncul secara bermusim terutama ketika suhu politik meningkat.

Ia dijadikan alat tekanan politik terhadap kerajaan seolah-olah masa depan negara boleh dikompromi demi meraih sokongan jangka pendek.

Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sudah termaktub secara jelas dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Perkara ini bukan sekadar simbolik, tetapi menjadi asas kepada dasar pendidikan, pentadbiran dan pembinaan identiti nasional.

Mengiktiraf UEC tanpa meletakkannya sepenuhnya dalam kerangka sistem pendidikan kebangsaan bermakna membuka ruang kepada pelemahan berterusan kedudukan bahasa kebangsaan dalam institusi rasmi negara.

Akta Pendidikan 1996 pula memperincikan bahawa sistem pendidikan kebangsaan bertujuan membentuk perpaduan nasional melalui kurikulum, bahasa pengantar dan penilaian yang selaras dengan aspirasi negara.

Pembohongan yang disengajakan

UEC - yang dibangunkan di luar kawalan kurikulum kebangsaan dan tidak terikat dengan falsafah pendidikan nasional - memang jelas bercanggah dengan semangat dan peruntukan akta ini.

Justeru tuntutan agar UEC diiktiraf setara dengan sijil nasional bukan sahaja tidak berasas, malah bertentangan dengan undang-undang.

Lebih membimbangkan, pengiktirafan UEC akan mewujudkan dualisme pendidikan yang berbahaya. Negara akan berhadapan dengan dua aliran pendidikan yang berasingan, dengan nilai, orientasi dan hala tuju berbeza.

Sejarah dunia menunjukkan bahawa negara yang gagal menyatukan sistem pendidikannya bakal berdepan krisis identiti dan perpecahan sosial. Malaysia tidak harus mengulangi kesilapan tersebut atas nama toleransi yang tafsir secara salah.

Hakikatnya, tiada negara berdaulat yang membenarkan sistem pendidikan alternatif menuntut pengiktirafan setara tanpa tunduk sepenuhnya kepada dasar nasional.

Perancis, Jepun dan Korea Selatan mempertahankan bahasa kebangsaan mereka sebagai teras pendidikan walaupun rakyatnya menguasai pelbagai bahasa asing.

Malaysia tidak lemah kerana mempertahankan bahasa Melayu, sebaliknya akan menjadi lemah jika terus berkompromi dengan tuntutan yang mencairkan asas negaranya sendiri.

Apa yang lebih dikesalkan, isu UEC sering dibingkaikan seolah-olah penolakan yang bersifat perkauman. Ini satu pembohongan politik yang disengajakan.

Isunya bukan kaum, tetapi prinsip kenegaraan. Semua rakyat Malaysia, tanpa mengira latar belakang, wajib tunduk kepada sistem pendidikan nasional jika benar-benar mahu membina satu negara yang bersatu dan berdaulat.

Selepas lebih enam dekad merdeka, Malaysia tidak seharusnya terus menjadi tebusan kepada tuntutan yang menggugat asas negara bangsa.

Keutamaan negara ialah memperkukuh sekolah kebangsaan, memantapkan penguasaan bahasa Melayu tanpa menafikan bahasa lain, serta memastikan sistem pendidikan nasional menjadi wahana perpaduan, bukannya medan rundingan politik.

Isu UEC seharusnya ditamatkan secara tuntas demi masa depan negara dan generasi akan datang.


PROF SHAH NOR BASRI ialah felo utama Akademi Sains Islam, Jordan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS