Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Reformasi DBKL, Kampung Baru, pengampunan diraja cabaran buat Hannah

Timbalan Setiausaha Agung DAP Hannah Yeoh, yang mencipta sejarah semalam, sebagai pemimpin Cina pertama, dan bukan Islam pertama yang memegang portfolio Wilayah Persekutuan sejak jawatan itu diwujudkan pada 1976.

Namun, penghormatan itu datang dengan cabaran baru selain tanggungjawab sedia ada yang perlu digalas.

Walaupun Kuala Lumpur - salah satu daripada tiga Wilayah Persekutuan di bawah pengawasan Yeoh - merupakan sebuah bandar yang pelbagai, dan Malaysia telah menguwar-uwarkan mesej perpaduan selama beberapa dekad, latar belakang kaum Ahli Parlimen Segambut itu akan menjadi cabaran utama dalam beberapa tugasnya.

Ini terutamanya dalam perkara berkaitan Kampung Baru dan kawasan Melayu lain di ibu negara.

Kritikan susulan kebimbangan bahawa pelantikan Yeoh akhirnya akan membawa kepada pilihan raya majlis tempatan di Kuala Lumpur juga dijangka timbul.

PAS telah pun memainkan kebimbangan sedemikian, dengan menonjolkan etnik Yeoh dan timbalannya yang baru, Lo So Fui, serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Nga menjadi sasaran sebelum ini, berhubung Akta Pembaharuan Semula Bandar yang dicadangkannya - yang didakwa PAS akan dijadikan senjata untuk meminggirkan orang Melayu di kawasan bandar.

Sementara itu, Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki juga meningatkan kerajaan tidak memandang enteng kebimbangan mengenai latar belakang kaum dua pemimpin yang kini menerajui portfolio Wilayah Persekutuan, selain meminta kerajaan menangani kebimbangan mengenai pilihan raya majlis tempatan.

Umno dan PAS telah lama membantah pilihan raya majlis tempatan atas dasar kaum, mendakwa ia akan menyebabkan orang Melayu kehilangan kuasa di kawasan bandar.

Selain retorik perkauman daripada pengkritik, Yeoh juga perlu berdepan dengan tekanan daripada sekutu yang mahukan pembaharuan dalam cara Kuala Lumpur ditadbir, tanpa menggunakan pilihan raya.

Bulan lalu, sekumpulan Ahli Parlimen Kuala Lumpur, termasuk dari DAP, telah mengemukakan rang undang-undang persendirian yang mencadangkan pengenalan sistem tadbir urus berasaskan ahli majlis untuk ibu negara.

Ini bertujuan untuk memperkenalkan semak dan imbang yang berkesan kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur, satu jawatan yang menurut pengkritik kini mempunyai kuasa yang hampir tidak terhad.

Selain isu-isu ini, Yeoh juga perlu menghadapi pelbagai perkara berkaitan pembangunan berleluasa di Kuala Lumpur.

Sebagai Ahli Parlimen Segambut, Yeoh telah menjadi pejuang pembangunan lestari, paling ketara dalam kes Taman Rimba Kiara yang menyaksikannya memperjuangkan isu itu bagi pihak pengundinya.

Sementara itu, isu-isu mengenai pengurusan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan - jawatan baru Yeoh juga akan datang dengan satu tanggungjawab tambahan.

Sebagai Menteri Wilayah Persekutuan, Yeoh akan menjadi wakil kabinet dalam Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan.

Jawatan itu menjadi tumpuan tahun lalu apabila rayuan Najib Razak dipertimbangkan - dan dia akhirnya diberikan pengurangan hukuman penjara dan denda berhubung sabitan rasuah SRC International.

Yang di-Pertuan Agong sebelumnya juga dikatakan mengeluarkan perintah untuk membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya di rumah. Mahkamah Persekutuan akan memutuskan perkara itu minggu depan.

Walau bagaimanapun, Yeoh mungkin tidak perlu mewarisi sebarang isu berkaitan pengampunan Najib.

Itu melainkan bekas perdana menteri itu juga memfailkan pengampunan jika Mahkamah Tinggi mensabitkannya dengan skandal rasuah 1MDB dalam masa dua minggu, dan permohonan itu dijangka akan didengar di bawah kerajaan semasa.

Dalam apa jua senario, walaupun keputusan Yeoh dalam Lembaga Pengampunan akan menjadi pendirian kerajaan, ia mungkin akan dilihat oleh pengkritik dan penyokong melalui lensa parti politik yang diwakilinya.

Dalam satu kenyataan malam tadi, Yeoh berkata keutamaannya untuk portfolio barunya adalah agar Wilayah Persekutuan ditadbir secara telus dan prihatin terhadap realiti yang dihadapi rakyat.

Ini termasuk penambahbaikan kepada perkhidmatan awam asas, pembangunan mampan, melindungi kawasan rekreasi dan mengurangkan kejadian banjir.

Menteri itu berkata dia juga akan terus melibatkan pihak berkepentingan melalui Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan bagi memastikan suara rakyat didengari.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS