Sejak akhir-akhir ini, sekiranya menerima panggilan selepas jam 12 tengah malam, atau seawal Subuh, perasaan takut akan muncul, berita buruk apakah yang bakal diterima.
Itulah yang dihadapi penulis apabila menerima panggilan pada awal pagi Selasa daripada seorang teman: “Anuar dah tiada sejak 11.30 malam tadi, aku nak pergi hospital check (semak). Nanti apa-apa aku update (kemas kini).
“Kau cuba bagi tau kawan-kawan, aku tak tau nak bagi tau siapa.”
Kata seorang teman yang sudah tidak menghubungi penulis lebih setahun.
Langkah pertama yang dilakukan penulis ialah menulis di Facebook: “Difahamkan Saudara Anuar Mohd Nor baru sahaja meninggal dunia jam 11.30 malam tadi. Al-Fatihah.”
Sebaik saja memuat naik tulisan tersebut, penulis matikan bunyi telefon dan terus masuk tidur. Bangun sahaja esok pagi begitu banyak “missed call” dan pesanan WhatsApp yang bertanyakan tentang Anuar.
Anuar bukanlah nama yang begitu besar sehingga dikenali segenap generasi, akan tetapi merupakan antara orang awal yang menggunakan laman sesawang untuk menyebarkan informasi di Malaysia, sekali gus mencabar media arus perdana yang mendominasi penyebaran maklumat pada akhir 1990-an.
Anuar adalah orang di belakang laman Mahazalim, Free Anwar Campaign, laman Reformasi dan banyak lagi untuk membantu penyebaran maklumat bagi Anwar Ibrahim selepas dipecat sebagai timbalan perdana menteri dan menteri kewangan oleh Dr Mahathir Mohamad pada 1998.
Kelahiran laman-laman sesawang yang digerakkan oleh Anuar dan kawan-kawannya seperti arwah Badaruddin Ismail atau lebih dikenali sebagai Pak Din menyebabkan naratif perlawanan Anwar selepas dipecat dan gerakan politiknya dapat disebar luas, ketika media arus perdana dikawal ketat oleh kerajaan BN.
Untuk konteks, pada ketika itu Internet masih lagi baru dan tidak selaju hari ini, maklumlah pada ketika itu modem pun jenis “dial-up”.
Artikel-artikel yang dimuat naik dalam laman-laman progerakan reformasi Anwar itu dicetak dan disebar luas menyebabkan hampir setiap minggu Kuala Lumpur dibanjiri dengan siri demonstrasi mingguan yang mencabar kekuasaan Mahathir dan BN.
Dan selebihnya adalah sejarah yang sekiranya digali, sudah pasti akan ditemui di Internet.
Kemanusiaan
Anuar, seperti juga ramai penggerak gerakan reformasi awal, tergolong dalam golongan yang tidak mendapat manfaat ekonomi atau jawatan selepas PKR menguasai beberapa negeri dan selepas Anwar menjadi perdana menteri pada penghujung 2022.
Akan tetapi sisi lain Anuar ialah sifat kemanusiaan yang begitu tinggi dan sering kali didatangi oleh aktivis-aktivis gerakan reformasi 1998 dengan pelbagai masalah kehidupan.
Semua masalah itu cuba dibantu oleh Anuar satu persatu walaupun selalunya, dialah yang terpaksa bersusah payah berhutang atau meminjam kepada “along”.
Anuar kadangkala apabila berbual dengan penulis sama ada melalui telefon atau ketika melepak di kedai mamak, akan menceritakan tentang perkara-perkara ini.
“Masalah kau ini sama dengan Jesus Christ,” kata penulis kepada Anuar yang selalunya menyebabkan kami sama-sama tergelak.
Pengalaman Anuar berdepan dengan pelbagai jenis manusia yang hidup dalam kesusahan dan penderitaan dibukukan dalam buku bertajuk Potret Kemanusiaan, yang menghimpun koleksi sajak-sajaknya.
Selain itu, sejak sekian lama, Anuar menghidap penyakit diabetes yang akhirnya membawa kepada masalah jantung dan buah pinggang.
Dan serangan jantung dikatakan sebagai punca Anuar meninggal dunia pada Isnin.
Ironinya, kiriman mesej WhatsApp terakhir antara penulis dan Anuar minggu lepas ialah tentang sahabat bersama kami, Irwan Muhammad Zain yang meninggal dunia.
“Irwan pass on ke? Sakit apa Black? Aku rasa aku kenal dia thru kau.
“Al-Fatihah. He is still young.”
Dua hari selepas Irwan, kini Anuar pula pulang ke Rahmatullah.
Al-Fatihah buat sahabatku Anuar, kau pasti damai di sana.
AMIN ISKANDAR adalah penulis politik dan bekas wartawan.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
