Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
TINJAUAN l Pusat beli-belah mesra haiwan: Ramai sokong, ada bantah

TINJAUAN l Isu pusat beli-belah berkonsepkan mesra haiwan atau “pet friendly” yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu menjadi topik hangat perdebatan.

Tinjauan Malaysiakini terhadap pengunjung dan pekerja di sekitar Sunway Square Mall, Petaling Jaya, Selangor mendapati reaksi bercampur dengan ada yang menyokong idea membawa haiwan peliharaan dan ada juga yang membantah.

Rata-rata pengunjung yang ditemui Malaysiakini di pusat beli-belah itu menyatakan kepentingan untuk saling menghormati dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Seorang pengunjung yang hanya mahu dikenali sebagai Huda, 26, berpandangan konsep pusat beli-belah mesra haiwan tidak menjadi masalah selagi peraturan dipatuhi.

"Sebagai seorang Muslim, saya rasa tidak ada masalah untuk sekadar berjalan dan melihat-lihat di pusat beli-belah ini kerana pihak pengurusan sudah menetapkan syarat jelas seperti haiwan mesti berada dalam bekas khas.

“Setakat ini pun saya lihat semua haiwan berkelakuan baik dan tidak dilepaskan bebas," katanya.

Tambah Huda, orang ramai mempunyai banyak pilihan kerana masih banyak pusat beli-belah lain untuk dikunjungi jika tidak selesa dengan konsep itu.

Saling menghormati

Pandangan hampir sama dikongsi Zuhairee, 26, yang melihat isu ini dari sudut keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.

"Walaupun kita majoriti Muslim, kita juga sebuah negara berbilang kaum. Dalam ajaran Islam sendiri, kita diajar untuk saling menghormati dan bertoleransi.

“Asalkan pihak pengurusan menjaga kebersihan dan kawalan, saya rasa ia tidak menjadi masalah," ujarnya.

Pengunjung yang hanya mahu dikenali sebagai Tey, 46, yang ketika ditemui membawa dua ekor anjing peliharaannya daripada baka poodle berwarna putih, berkata dia sering membawa haiwan peliharaannya ke tempat-tempat awam yang mesra haiwan.

Apabila ditanya mengapa dia ingin membawa haiwan peliharaannya, dia menjelaskan bahawa anjingnya akan berasa murung atau sunyi jika sering dikurung di dalam rumah sahaja.

“Saya rasa jika anjing berada di dalam stroller, ia tidak mengganggu orang lain. Ia juga merupakan salah satu aktiviti riadah sambil meluangkan masa bersama haiwan peliharaan,” katanya.

Dia turut berkata konsep mesra haiwan seperti ini perlu dipertingkatkan dan diperbanyakkan lagi bagi memupuk semangat cinta terhadap haiwan.

Isu kebersihan dan sikap pengunjung

Dalam kalangan pekerja pula, walaupun tidak mempunyai masalah yang ketara dengan kehadiran haiwan peliharaan, ada yang bimbang ia akan menyebabkan penurunan jumlah pelanggan kerana haiwan peliharaan tidak dibenarkan masuk ke dalam premis makanan dan minuman.

Pekerja di premis kedai produk kecantikan pula bimbang tentang isu kebersihan kerana bulu haiwan peliharaan boleh terkena pada produk-produk mereka, selain berpotensi menakutkan pelanggan yang mempunyai alahan teruk terhadap haiwan peliharaan.

Pekerja perunding kecantikan yang hanya mahu dikenali sebagai Sha, 26, dari Shah Alam pula berpendapat haiwan peliharaan tidak sepatutnya dibawa ke pusat beli-belah kerana terdapat golongan yang mempunyai kulit sensitif.

Menurutnya, walaupun ramai pengunjung mahir mengawal dan meletakkan haiwan peliharaan mereka di dalam stroller atau carrier, dia pernah melihat pengunjung membawa anjing berjalan hanya dengan kolar.

“Untuk menjaga kebersihan, kami akan meminta pelanggan meletakkan haiwan peliharaan mereka di luar premis kedai,” katanya.

Tambahnya, terdapat sesetengah pengunjung yang tidak bertanggungjawab seperti tidak mengurung haiwan mereka di dalam stroller atau membiarkan stroller tersebut terbuka.

Jelasnya, keadaan ini mungkin menimbulkan rasa kurang selesa kepada orang lain, terutamanya ketika mereka ingin menjamu selera atau minuman di premis makanan.

Namun, Sha berkata pekerja pembersihan menjalankan kerja pembersihan setiap hari bagi memastikan lantai dan fasiliti lain sentiasa berada dalam keadaan bersih.

Pemilik haiwan perlu bertanggungjawab

Sementara Role, 22, yang merupakan penyelia sebuah kafe di pusat beli-belah itu berkata, pihaknya tidak membenarkan haiwan peliharaan masuk ke dalam kedai walaupun pengunjung membawa haiwan tersebut dalam bekas haiwan.

"Kafe kami ada sijil halal, jadi memang tak boleh benarkan haiwan masuk. Kalau langgar peraturan, risiko paling besar ialah sijil halal boleh ditarik," katanya.

Dia mengakui keputusan itu menyebabkan mereka kehilangan sebahagian pelanggan yang ingin masuk bersama haiwan peliharaan.

Namun, menurutnya, langkah tersebut terpaksa diambil demi mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan.

"Mereka (pelanggan) kenalah terima sebab kami tak boleh buat apa-apa. Kalau kami benarkan juga, ia boleh jejaskan operasi kedai," jelasnya sambil menambah bahawa semua premis makanan bersijil halal di pusat beli-belah itu terikat dengan peraturan yang sama.

Tambahnya, dia baru sahaja bekerja di situ dan pusat beli-belah tersebut juga masih baru beroperasi. Katanya, pada peringkat awal, konsep pusat beli-belah mesra haiwan itu agak mengejutkan dirinya sebagai seorang Muslim.

"Saya terkejut sikit bila tengah buat kerja, tiba-tiba dengar bunyi anjing, bunyi kucing," ujarnya.

Menurutnya, situasi itu berlaku hampir setiap hari, namun lebih ketara pada hujung minggu.

Role berkongsi bahawa pernah juga berlaku kes anjing menyalak sehingga mengganggu pelanggan dan pekerja di sekitar.

Namun, secara peribadi, katanya, dia berpandangan pusat beli-belah yang berkonsepkan mesra haiwan masih boleh diterima sekiranya kawalan rapi dilaksanakan.

Dia juga tidak bersetuju dengan sesetengah warganet yang meminta pusat beli-belah itu diboikot.

"Untuk boikot, bagi saya terlalu keterlaluan. Kalau nak, datang tengok dulu persekitaran. Kalau rasa tak selesa, itu pilihan masing-masing.

"Selagi haiwan dijaga dengan baik dan berada dalam bekas, saya rasa ia masih boleh diterima. Cuma perlu lebih berhati-hati kerana ada kanak-kanak dan pelanggan yang alergik atau takut kepada haiwan,” katanya.

Dia turut menyuarakan kebimbangannya dari aspek keselamatan ketika pelanggan terpaksa meninggalkan haiwan peliharaan mereka di luar premis.

"Kalau mereka nak pergi beli barang, kena tinggal haiwan di luar, itu bahaya. Takut ada yang lompat keluar," katanya.

Sunway Square Mall menjadi pusat beli-belah pertama di ibu negara yang memperkenalkan dasar “mesra haiwan peliharaan”.

Bagaimanapun, Exco Pelancongan Selangor Ng Sue Lim semalam berkata tiada pusat beli-belah di Selangor yang dibenarkan menerima pengunjung bersama haiwan peliharaan.

Jelas Ng, larangan itu kekal berkuat kuasa sementara kerajaan negeri meneliti semula garis panduan sedia ada bagi memastikan ia sejajar dengan sensitiviti masyarakat pelbagai kaum.

“Selangor sebagai negeri maju dan bertaraf antarabangsa, semua langkah yang melibatkan polisi tertentu perlu diteliti, bukannya seperti sesetengah negara mesra haiwan.

“Berdasarkan kebudayaan kita yang pelbagai kaum, kita perlu teliti dahulu sama ada ia boleh diguna pakai di pusat beli-belah. Boleh dibincang tetapi tiada penyelesaian kerana perkara ini ada kebaikan dan keburukan.

“Setakat ini, tiada pusat beli-belah dibenarkan (pengunjung) bawa haiwan dan larangan itu kekal walaupun ada pihak yang melanggarnya. Kita akan bincang dari semasa ke semasa,” katanya seperti dilapor Media Selangor.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS