Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
NGO: Peraturan mana larang bawa haiwan ke pusat beli-belah?
Diterbitkan:  Dec 18, 2025 9:21 AM
Dikemaskini: 2:45 AM

Sebuah NGO hak haiwan menuntut kerajaan Selangor mengenal pasti dan mendedahkan secara terbuka undang-undang khusus yang melarang haiwan peliharaan dibawa masuk ke pusat beli-belah.

Tuntutan itu dibuat susulan kenyataan Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Ng Suee Lim, yang berkata larangan membawa haiwan peliharaan ke pusat beli-belah di negeri itu masih kekal.

Ng Suee Lim

Dalam satu kenyataan, jurucakap Lawyers for Animal Rights, Rajesh Nagarajan dan Sachpreetraj Singh, mengingatkan Ng bahawa dalam sebuah negara demokrasi berperlembagaan, sekatan terhadap perlakuan yang sah tidak boleh dikenakan melalui pengumuman semata-mata.

"Kuasa eksekutif mestilah berasaskan undang-undang.

"Sehingga kini, tiada statut, perundangan subsidiari, undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan, atau garis panduan yang diwartakan telah dikenal pasti atau diterbitkan bagi menyokong kewujudan larangan tersebut,” kata mereka.

Baru-baru ini, langkah diambil Sunway Square Mall di Subang mencetuskan perdebatan hangat di media sosial apabila menjadi pusat beli-belah pertama di Malaysia yang secara rasmi membenarkan pengunjung membawa haiwan peliharaan masuk ke dalam premisnya.

Akhbar New Straits Times melaporkan pusat beli-belah itu tular selepas gambar dan video tersebar di internet menunjukkan seekor anjing ditolak menggunakan troli khas, termasuk di kawasan berhampiran TGV Cinemas.

Bertentangan Perlembagaan Persekutuan

Sehubungan itu, peguam berkenaan menegaskan bahawa pusat beli-belah merupakan premis milik persendirian dan tanpa peruntukan undang-undang yang jelas, kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa untuk mengenakan larangan menyeluruh terhadap cara pemilik harta persendirian mengawal selia tingkah laku yang sah dalam premis mereka.

Mereka berkata percubaan sedemikian adalah ultra vires, bersifat sewenang-wenangnya, dan tidak sah di sisi undang-undang.

"Perkara ini juga menimbulkan kebimbangan perlembagaan yang serius di bawah Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin kesamarataan di sisi undang-undang. Suatu “larangan” yang kabur, tidak bertulis, dan dikuatkuasakan secara tidak konsisten mewujudkan perbezaan layanan yang bersifat sewenang-wenangnya tanpa kriteria objektif atau justifikasi undang-undang.

"Mahkamah Persekutuan dalam kes Sivarasa Rasiah lwn Badan Peguam Malaysia memutuskan bahawa sebarang sekatan terhadap perlakuan yang sah mestilah memenuhi piawaian perlembagaan dari segi kewajaran dan perkadaran,” tambah mereka.

Gambar Hiasan - Rajesh Nagarajan (kiri) dan Sachpreetraj Singh (kanan)

Menurut mereka sekiranya pengawalseliaan dianggap perlu, laluan yang sah adalah jelas: menggubal undang-undang secara telus, mengadakan rundingan dengan pihak berkepentingan, dan memastikan pematuhan kepada piawaian perlembagaan dari segi kesahan, kesamarataan, dan perkadaran.

"Kedaulatan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan bukanlah suatu pilihan. Kedua-duanya mengikat pihak Eksekutif pada setiap masa," kata kedua-dua peguam itu.

‘Keluarkan arahan rasmi’

Sementara itu, Adun Permatang, Nurul Noh Omar, mencabar Ng dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) supaya mengeluarkan arahan rasmi bertulis kepada pengurusan Sunway Square Mall sama ada untuk membatalkan atau sekurang-kurangnya menyemak semula polisi pet-friendly yang telah dan sedang dilaksanakan.

Nurul Noh Omar

Ia katanya bagi memastikan isu yang menyentuh kebersihan, keselesaan awam dan keyakinan umat Islam tidak dipandang remeh atas alasan komersial atau pelancongan.

"Jika benar dasar negeri menyatakan haiwan tidak dibenarkan di pusat beli-belah, maka Sunway Square Mall tidak boleh dikecualikan.

"Isu ini bukan soal membenci haiwan, tetapi soal tadbir urus ruang awam, kuasa PBT dan kejelasan dasar kerajaan negeri.

"Jika polisi wujud tetapi gagal dikuatkuasakan, maka ia akan dilihat sebagai lemah dan tidak berwibawa. Rakyat sedang memerhati. Dan dalam isu ini, ketegasan tindakan adalah ukuran sebenar kepimpinan," tegasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS