Bekas ahli Parlimen Kuala Terengganu, Raja Kamarul Bahrin Shah hari ini tampil menyekolahkan Ahmad Azri Abdullah berhubung dakwaan exco Pemuda Amanah itu bahawa perlantikan aktivis Marhamah Rosli sebagai timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ibarat pelempang buat parti itu.
Katanya, exco Pemuda Amanah itu sepatutnya menyemak terlebih dahulu apakah parti itu mengemukakan nama timbalan presiden parti itu, Mujahid Yusof sebagai calon menteri hal ehwal agama.

"Sekiranya nama Mujahid telah dikemukakan oleh Amanah, besar kemungkinan beliau boleh dilantik semula sebagai Menteri Hal Ehwal Agama berdasarkan pengalaman dan rekod beliau sebagai menteri penuh sebelum ini, bukannya sebagai timbalan menteri seperti cadangan Ahmad Azri.
"Ahmad Azri perlu selidik kerana masalahnya mungkin bukan terletak pada Pejabat Perdana Menteri," kata Raja Bahrin yang juga pengerusi Biro Antarabangsa Amanah dalam kenyataan.
Tegasnya, tuduhan Ahmad Azri bahawa Perdana Menteri Anwar Ibrahim meminggirkan Amanah dalam pelantikan jawatan itu juga menunjukkan kurang fahamannya terhadap protokol dan prosedur dalaman antara parti.
"Dari segi protokol, Datuk Seri Anwar lazimnya akan bergantung kepada senarai calon menteri yang dikemukakan oleh parti Amanah sendiri untuk dipertimbangkan,” tambahnya.

Semalam Ahmad Azri mempersoalkan tindakan Anwar menamakan Senator Zulkifli Hasan dan aktivis Marhamah Rosli, masing-masing sebagai menteri dan timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Sambil menyifatkan pelantikan itu ibarat ‘satu pelempang’ buat Amanah, Azri berkata kerajaan boleh memilih pemimpinnya seperti Mujahid, Ahli Parlimen Pulai Suhaizan Kaiat atau Ketua Pemuda Hasbie Muda.
Kata Raja Bahrin, cadangan agar Mujahid dilantik sebagai timbalan menteri agama juga menunjukkan kurang hormat Ahmad Azri terhadap pengalaman dan kedudukannya sebagai bekas menteri penuh.
"Memandangkan Mujahid ialah timbalan presiden Amanah, bekas menteri dan senator, cadangan tersebut adalah satu tindakan yang sangat tidak menghormati parti Amanah dan PH sendiri apabila Ahmad Azri mencadangkan pelantikan yang lebih rendah, sedangkan Mujahid mempunyai pengaruh besar dalam kalangan masyarakat agama di peringkat tempatan dan antarabangsa," katanya.

Selasa lalu, Anwar mengumumkan rombakan kabinet yang menyaksikan Mohd Na’im Mokhtar digugurkan sebagai menteri hal ehwal agama.
Dia mengumumkan timbalannya Zulkifli Hasan menggantikan tempat Na’im manakala Marhamah diangkat mengisi kekosongan jawatan nombor dua di portfolio itu.
Mujahid dan Hasbie adalah anggota Dewan Negara manakala Suhaizan mewakili Parlimen Pulai.
Mujahid pernah menjadi menteri menjaga hal ehwal agama ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) kali pertama yang diterajui Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada 2018 hingga 2020.

Pada pengumuman rombakan kabinet itu, Anwar mengekalkan semua pemimpin Amanah - presiden parti Mohamad Sabu (menteri pertanian dan keterjaminan makanan) dan naib presiden Dzulkefly Ahmad (menteri kesihatan).
Turut dikekalkan adalah naib presiden Adly Zahari (pertahanan) dan Ketua Wanita Athirah Sabu (perumahaan dan kerajaan tempatan).
