Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata mesyuarat Kabinet pertama selepas rombakan semalam, mencerminkan kesediaan kerajaan untuk mengakui kelemahan, di samping mengambil kira harapan rakyat yang semakin tinggi terhadap penambahbaikan.
“Bagaimanapun, adakah saya benar-benar berpuas hati dengan prestasi mereka? Mereka juga boleh menilai saya. Saya sendiri ada keterbatasan. Jika diberi peluang dan kuasa sepenuhnya, saya pasti bertindak berbeza, tetapi saya berada dalam gabungan kerajaan.”
“Saya mahu pastikan kerajaan stabil. Ia sangat penting,” katanya dipetik Bernama semalam.
Mengenai kabinet baru, Anwar berkata dia mahu barisan menteri dan timbalan menteri memperbaiki prestasi mereka.
"Jadi untuk 2025, peringatan (untuk) Menteri (ialah) dengar dan yang munasabah (masalah) cuba selesaikan dan biarlah bagi gambaran agak sopan menteri-menteri ini. Dengar dengan baik dan cuba perbaiki prestasi kita. Itu yang saya nasihatkan petang tadi (Semalam)," kata Anwar.
Anwar berkata setelah tiga tahun mentadbir, kerajaan kini perlu bergerak lebih pantas dan melaksanakan pembaharuan dengan lebih berkesan selaras dengan jangkaan rakyat.
“Bergerak pantas, pecut, mempercepat pelaksanaan reformasi. Rakyat menjangkakan itu. Mereka kata tahun pertama kestabilan, tahun kedua mula buat pembaharuan, tahun ketiga kini, mereka mahu kita lakukan lebih banyak lagi,” katanya.
Anwar berkata rombakan Kabinet bertujuan menyuntik pembaharuan dengan memberi penekanan kepada pemimpin muda, di samping memastikan kestabilan politik dalam Kerajaan Perpaduan.
Ditanya sama ada dia sedia mengadakan Pilihan Raya Umum tahun depan berikutan petunjuk ekonomi Malaysia yang kukuh, Anwar berkata perkara itu bukan keutamaan pada masa ini.
“Saya tidak fikirkan mengenai pilihan raya buat masa ini. Tumpuan saya sekarang adalah untuk meneruskan pelaksanaan pembaharuan serta menangani masalah dihadapi rakyat, khususnya berkaitan kos sara hidup yang tinggi.
Mengulas mengenai isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), Anwar berkata perkara berkenaan sering dipolitikkan sedangkan pendiriannya konsisten sejak dahulu.
“Bagi saya, UEC bukan isu utama, ia bukan soal menolak atau menerima semata-mata, tetapi melihatnya dalam konteks lebih luas iaitu sejarah negara, sistem pendidikan nasional dan keperluan memperkukuh bahasa kebangsaan,” katanya.
Anwar berkata kerajaan komited memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan sama sekali tidak menafikan kepentingan bahasa Inggeris serta bahasa lain.
“2026 bukan lagi 1950-an dan kita hidup dalam dunia global, penguasaan pelbagai bahasa adalah satu keperluan, bahasa Inggeris penting, begitu juga bahasa Cina, Tamil atau Arab.
“Namun, komitmen untuk memperkukuh bahasa Melayu mesti kekal sebagai asas kepada identiti dan perpaduan negara,” kata Anwar.
Pada masa sama, Anwar berkata dia akan mengeluarkan kenyataan menyeluruh tentang hala tuju negara untuk tahun hadapan dan seterusnya, pada 5 Jan ini.
Isu UEC timbul selepas pilihan raya Sabah apabila timbalan pengerusi DAP, Nga Kor Ming berkata pihaknya akan bertemu Anwar berhubung pengiktirafan UEC, yang menimbulkan bantahan daripada Umno dan beberapa parti lain.
Pengiktirafan UEC adalah salah satu janji yang disebut dalam manifesto PH.
