Parti Hijau membidas kenyataan Exco kerajaan Selangor yang didakwa tidak mempertahankan tanah sekitar rizab Hutan Ayer Hitam di Puchong.
Setiausaha penajanya Abdul Razak Ismail, berkata Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin sepatutnya mempertahankan rizab hutan yang tinggal dalam Selangor.
Razak turut mempersoalkan kenyataan Jamaliah bahawa rizab tanah berkenaan telah dinyah warta sejak 99 tahun lalu.
"Sebagai exco alam sekitar dia sepatutnya pertahan hutan yang ada di Selangor, hutan dalam bandar yang hanya tinggal 'secepuk' sahaja.
"Tapi, ini dia kata hutan berkenaan telah dinyah warta sejak 99 tahun lalu, sebelum merdeka, ketika zaman British. Saya tak fikir British peduli pasal itu.
"Kalau macam ini tak guna kita lantik kau exco alam sekitar. Baik panggil sahaja exco pembangunan. Pada saya ini nak majukan pemaju kapitalis," katanya kepada Malaysiakini.

Semalam, kerajaan Selangor menjelaskan tanah seluas 169 ekar berhampiran rizab hutan Ayer Hitam telah dinyah warta sebagai hutan simpan kekal sejak 1926–hampir seratus tahun lalu.
Katanya, berdasarkan rekod pewartaan, kawasan itu pada asalnya merupakan sebahagian daripada hutan simpan Ayer Itam yang diwartakan pada 1906.
Bagaimanapun, katanya, pada 1926 kawasan tersebut dinyah warta kepada tanah kerajaan dan seterusnya diberi milik.
Iktibar dari seberang
Sementara itu Razak meminta Jamaliah supaya mengambil iktibar daripada banjir yang berlaku di Sumatera, Indonesia, yang menurutnya berpunca daripada penerokaan hutan.
"Hutan di dalam kawasan bandar di Selangor ini sudah tidak banyak. Kenapa mahu ditarah lagi, fikirkan kesannya.
"Exco alam sekitar sepatutnya fikir kesan apa yang berlaku di Sumatera, Indonesia, banjir besar yang disebabkan kerakusan meneroka hutan. Itu perlu kita jadikan iktibar jika tidak mahu mengalami nasib sama," katanya lagi.
Penduduk membantah pembangunan di kawasan itu susulan kebimbangan terhadap kemungkinan kesesakan lalu lintas, risiko alam sekitar serta kehilangan kawasan hijau di sebuah bandar yang sudah sedia padat.
