Ketika Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan pemberi rasuah tidak wajar diangkat sebagai wira, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad tampil berkongsi kisah pencuri ayam yang memperdaya orang ramai.
Walaupun tidak menamakan Anwar secara langsung, dipercayai sindiran Mahathir menyasarkan isu yang disentuh seteru politiknya itu sebelum ini, khususnya berkait perbahasan mengenai status pemberi maklumat dalam kes rasuah.
“Saya teringat satu cerita dongeng yang terdapat dalam masyarakat kita.
“Ceritanya begini: Seorang pencuri yang sedang berlari dengan ayam yang dicuri menjerit ‘pencuri-pencuri’. Dan orang pun pandang ke arah yang ditunjuk oleh pencuri berkenaan. Sementara itu pencuri pun hilang dengan ayamnya.

“Jangan agung pemberi rasuah, kata si polan,” tulis Mahathir di platform X, hari ini.
Terdahulu, Malaysiakini melaporkan Anwar berkata pindaan terhadap Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 yang dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat tahun depan bertujuan menutup sebarang kelompongan undang-undang yang boleh disalahgunakan.
Antara lain, pindaan itu bertujuan memperjelaskan perbezaan antara pemberi maklumat tulen dan penjenayah yang cuba berselindung di sebalik perlindungan undang-undang berkenaan.
Anwar berkata keadaan itu sering dimanipulasi, khususnya oleh perasuah atau penjenayah tegar yang mendakwa bekerjasama dengan pihak berkuasa semata-mata untuk mengelak daripada dikenakan tindakan undang-undang.

Namun, perdana menteri menegaskan perlindungan tidak wajar diberikan secara membuta tuli sehingga menjadikan penjenayah atau perasuah diangkat sebagai ‘wira’ hanya kerana mereka membuat pendedahan selepas melakukan kesalahan serius.
“Pemberi maklumat perlu dibezakan dengan jelas daripada penyamun atau perasuah tegar yang cuba bersembunyi atas nama whistleblower (pemberi maklumat).
“Ini dua perkara yang mesti dibezakan dengan jelas,” kata Anwar pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara, Selasa lalu.
Kenyataan itu dibuat susulan tindakan bekas setiausaha politiknya, Shamsul Iskandar Md Akin, yang mengaku tidak bersalah terhadap lima pertuduhan rasuah kerana didakwa menerima sogokan daripada ahli perniagaan Albert Tei bagi membantu mendapatkan lesen penerokaan perlombongan di Sabah.

Sejak November lalu, Tei dilihat agresif mendedahkan beberapa ahli politik yang didakwanya menerima wang daripadanya berkait lesen penerokaan mineral di Sabah — lesen yang akhirnya gagal diperolehnya.
Peguam Tei, Mahajoth Singh berhujah bahawa anak guamnya wajar “diberi ganjaran” kerana mendedahkan rasuah dengan mengambil risiko peribadi yang besar.
Bekas ketua pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, pula berpandangan mendakwa pemberi maklumat bukan pendekatan “serius” untuk memerangi rasuah.
Bagaimanapun, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki menegaskan Tei tidak dianggap sebagai pemberi maklumat yang layak menerima perlindungan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 kerana dia terbabit secara aktif dalam transaksi rasuah.
