Jabatan Peguam Negara (AGC) menyeru orang awam, termasuk pengulas dan pengguna media sosial agar tidak membuat spekulasi insiden tembakan di Durian Tunggal, Melaka yang mengakibatkan kematian tiga individu.
AGC dalam kenyataan hari ini memaklumkan andaian atau penyebaran maklumat tidak sahih boleh menjejaskan siasatan dan menurunkan keyakinan terhadap sistem keadilan.
"Siasatan kes ini masih dijalankan oleh pasukan khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman. Justeru, integriti proses siasatan perlu dipelihara.
"Pada masa sama, individu yang mempunyai maklumat, rakaman, gambar atau bukti berkaitan insiden ini digalakkan untuk tampil memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi membolehkan siasatan dijalankan secara menyeluruh, objektif dan berfakta," menurut kenyataan itu.
AGC juga memberikan jaminan bahawa sebarang keputusan pendakwaan akan dibuat berdasarkan undang-undang dan keterangan yang boleh diterima, tanpa dipengaruhi tekanan luar atau sentimen awam.
"Semua pihak diingatkan untuk menghormati proses pengadilan demi kepentingan keadilan dan semua pihak yang terlibat. Jabatan ini bersama-sama PDRM akan bekerjasama rapat untuk meneliti kes ini secara menyeluruh, dan sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan kemudian," menurut kenyataan itu.
Pada 16 Dis lepas, AGC mengarahkan agar siasatan berhubung insiden terbabit diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, selepas menerima taklimat daripada PDRM.
AGC memaklumkan klasifikasi semula itu selaras dengan tanggungjawab perlembagaan untuk memastikan siasatan dijalankan mengikut peruntukan undang-undang dan bukti yang ada, serta tidak bermaksud wujud sebarang kesalahan jenayah pada peringkat ini.
Bernama melaporkan semasa sesi soal jawab lisan di Dewan Negara Selasa lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kes itu akan disiasat secara rapi dan telus tanpa sebarang tolak ansur oleh PDRM.
Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dalam satu kenyataan turut menegaskan komitmen PDRM untuk memastikan setiap proses siasatan dilaksanakan secara telus, berintegriti dan berlandaskan undang-undang demi menjamin keadilan semua pihak.
Pada 24 Nov, tiga lelaki berumur 24 hingga 29 tahun ditembak mati selepas seorang daripada mereka didakwa melibas parang ke arah seorang anggota polis di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal kira-kira 4.30 pagi sehingga menyebabkan seorang koperal cedera parah pada lengan kirinya.
Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata kesemua suspek daripada Geng Durian Tunggal itu dipercayai dalam perjalanan untuk menyamun sebuah premis dan aktif melakukan jenayah sejak 2024, membabitkan 20 kes di Melaka serta masing-masing satu kes di Negeri Sembilan dan Selangor, dengan kerugian RM1.35 juta.
Bagaimanapun pada 3 Dis, ahli keluarga tiga suspek berkenaan menolak dakwaan bahawa mangsa bertindak ganas dengan menyerang pasukan keselamatan.
Susulan itu, pada 4 Dis, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk M Kumar berkata pihaknya menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat dakwaan ahli keluarga tiga suspek lelaki terbabit yang tidak berpuas hati dengan tindakan polis.
- Bernama
