Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Gara-gara pertikaian di TikTok - wanita OKU dakwa diserang

Seorang wanita mendakwa diserang dan ditumbuk sebanyak lima kali di bahagian pipi kiri oleh seorang individu dalam satu kejadian di sebuah restoran makanan segera di Serdang Raya, Selangor, pada 8 Dis lalu.

Mangsa, Rani Arumugam, 45, berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam empat petang ketika dia sedang bekerja sebagai pekerja pembersihan di sebuah restoran makanan segera.

Menurutnya, dia didatangi sekumpulan tujuh individu terdiri daripada tiga lelaki dan empat wanita, namun hanya seorang wanita bertindak menyerangnya di depan pelanggan di restoran itu.

“Saya dipukul dengan dia seorang sahaja, yang lain hanya tengok, rakam dan ketawa,” katanya dalam satu sidang media di sebuah pejabat guaman di Petaling Jaya, hari ini.

Akibat serangan itu, Rani mengalami kecederaan termasuk bengkak di pipi serta luka kecil di bahagian dalam bibir kiri. Sebahagian daripada insiden tersebut juga didakwa disiarkan secara langsung di TikTok sebelum dipadamkan.

Tambah Rani, dia mengenali individu yang menyerangnya itu hanya melalui media sosial dan tidak pernah berjumpa secara berdepan sebelum kejadian.

“Saya kenal dia melalui Tiktok sahaja, tak pernah berjumpa,” katanya, yang berkongsi bahawa dia dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU) akibat kecederaan tulang belakang akibat kemalangan motosikal pada 2013.

Rani menunjukkan paparan sinar X tulang belakangnya selepas kemalangan beberapa tahun lalu yang menyebabkannya menjadi OKU.

Malaysiakini sudah menghubungi individu yang didakwa menyerang Rani, namun belum mendapat respons.

Sementara itu, Rani mendakwa insiden itu berpunca daripada pertikaian di TikTok. Dia turut mendakwa video dirinya telah disebarkan di media sosial tanpa kebenaran bagi tujuan memalukan dan mengugut.

Rani telah membuat laporan polis bagi tujuan keselamatan diri dan keluarganya serta menggesa tindakan tegas diambil terhadap semua pihak yang terlibat, termasuk mereka yang terlibat dalam rakaman, penyebaran dan tindakan intimidasi secara fizikal dan dalam talian terhadapnya.

Tambah Rani, kejadian itu turut memberi kesan kepada pekerjaannya.

“Sekarang saya diberi cuti tanpa gaji selama dua minggu,” katanya.

Rani juga berkongsi bahawa dia sedang menerima rawatan psikiatri selepas kehilangan anak tunggalnya pada Januari lalu.

Turut hadir peguam yang mewakili Rani, Preakas Sampunathan,42, yang berkata insiden itu berkait rapat dengan budaya buli siber yang semakin membimbangkan di platform media sosial, khususnya di aplikasi TikTok.

Tambahnya, perbezaan pandangan di media sosial tidak seharusnya dijadikan alasan kepada gangguan atau keganasan.

Dia turut menzahirkan kebimbangan terhadap peranan penonton yang merakam dan menyebarkan kejadian keganasan tersebut.

“Pasa saya bahagian yang menyedihkan ialah penonton merekod kejadian itu untuk berkongsi dengan orang lain.

“Ini adalah situasi yang menyedihkan sebenarnya dan saya fikir perbuatan sebegini perlu tindakan tegas dari pihak polis,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Preakas berkata dia turut dimaklumkan mengenai satu lagi kejadian berasingan yang dipercayai melibatkan suspek yang sama apabila sebuah rumah di Pulau Pinang diserang secara berkumpulan pada awal pagi 17 Dis lalu.

Kejadian itu juga dilaporkan disiarkan secara langsung di TikTok, dan seorang wanita warga emas berada di dalam rumah itu ketika kejadian berlaku.

Tambahnya, insiden ini boleh mencetuskan kebimbangan terhadap peningkatan kes buli siber dan gangguan terancang yang bermula di media sosial sebelum merebak ke dunia sebenar.

Tahun lalu, Parlimen meluluskan pindaan Kanu Keseksaan yang memperkenalkan Seksyen 507B hingga 507G bagi mengklasifikasikan pelbagai bentuk buli, termasuk ancaman, penghinaan dan gangguan. Seksyen 507D (2), yang turut dikenali sebagai "Klausa Esha", memperuntukkan kesalahan terhadap perbuatan yang bertujuan mendorong kecederaan atau bunuh diri.

Selain itu, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 turut memperuntukkan hukuman terhadap penyebaran kandungan jelik, mengancam atau mengganggu di platform digital.

Preakas menggesa pihak berkuasa, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta penyedia platform media sosial, termasuk TikTok Malaysia untuk meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang bagi menangani insiden buli siber dan gangguan terancang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS