Persidangan Jagung Bijian Kebangsaan Tahun 2025 yang julung kali diadakan hari ini, dilihat mampu memperkasakan polisi dan dasar kerajaan dalam pembangunan industri jagung bijian negara selain memperkukuh keterjaminan makanan negara.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata kerajaan melalui kementerian kini dalam peringkat akhir untuk memuktamadkan Dasar Pembangunan Industri Jagung Bijian Negara dengan pendekatan baharu melibatkan seluruh rantaian nilai.
“Tahun lepas, saya menyaksikan majlis penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan dan Syarikat FGV Integrated Farming Holdings Sdn Bhd dan Genting Plantations Berhad yang bertujuan membangunkan industri jagung bijian.
“Tahun ini, kita berjaya menterjemahkan komitmen itu kepada pelaksanaan sebenar di lapangan. Pagi tadi saya melawat Ladang Jagung Bijian FGV Chuping Agro Valley (FCAV) di Chuping, Perlis, dengan anggaran keluasan 2,000 hektar dan ini menjadi projek rintis penanaman jagung bijian berskala besar,” katanya ketika merasmikan persidangan itu, di Alor Setar hari ini.
Beliau berkata bagi fasa awal pelaksanaan, hasil pengeluaran jagung bijian ladang FGV telah menunjukkan hasil yang memberansangkan dengan hasil purata kira-kira empat tan metrik sehektar.
“Tanaman jagung bijian ini mempunyai keunikan tersendiri kerana keseluruhan bahagian tanaman dapat dimanfaatkan dan menerusi projek rintis ini juga telah merekodkan pengeluaran ‘biojisim fodder’ yang juga bahan makanan ternakan dengan produktiviti anggaran 19 tan metrik sehektar.
“Usaha ini menjadi semakin signifikan apabila kita meneliti tahap kebergantungan negara terhadap import jagung bijian.
"Sepanjang 2010 hingga 2024, negara mengimport secara purata 2.5 juta tan metrik jagung bijian setahun dengan nilai import melebihi RM3 bilion setiap tahun,” katanya.
Beliau berkata ia memberikan implikasi besar kepada imbangan dagangan serta keterjaminan bekalan makanan negara.
Sementara itu, Mohamad berkata industri ayam, telur dan ternakan ruminan adalah antara subsektor utama yang menjadi tumpuan kerajaan memandangkan kebergantungan yang tinggi terhadap jagung bijian sebagai bahan makanan ternakan.
“Pada masa ini, kadar tahap sara diri masing-masing mencatatkan industri ayam sebanyak 93 peratus, telur 107 peratus, manakala ternakan ruminan kira-kira 17 peratus," katanya.
- Bernama
