Amanah mendakwa tindakan pemimpin PAS menyentuh isu perkauman susulan pelantikan menteri dan timbalan menteri bagi portfolio Wilayah Persekutuan yang berbangsa Cina jelas menunjukkan parti itu dan sentimen kaum tidak dapat dipisahkan.
Setiausaha Agung Amanah Faiz Fadzil berkata kenyataan rakan sejawatnya dari PAS, Takiyuddin Hassan adalah tidak wajar dan dilihat berniat mencetuskan sentimen kebencian dalam masyarakat majmuk negara ini.
Kata Faiz, sebagai parti yang membawa imej Islam, PAS seharusnya memperjuangkan perpaduan kaum seperti ketika sekapal dengan DAP sebelum ini.
“Takiyuddin tidak sepatutnya mempertikaikan pelantikan Hannah Yeoh sebagai menteri Wilayah Persekutuan serta timbalannya hanya berdasarkan latar belakang mereka yang berbangsa Cina.
“Seorang lagi menteri etnik Cina, Nga Kor Ming, juga menjadi mangsa Takiyuddin yang cuba bermain naratif ‘DAP mendominasi Kuala Lumpur’ dengan mengaitkan jawatan Nga sebagai menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan,” katanya.
Tambah Faiz, kenyataan Takiyuddin itu dibuat hanya beberapa bulan selepas seorang lagi pemimpin PAS, iaitu Zaharudin Muhammad bermain sentimen kaum berhubung pelantikan Leftenan Jeneral, Johnny Lim Eng Sen.
“Jelas, PAS dan sentimen perkauman berpisah tiada, walaupun sedar Islam mencegah perjuangan atas nama kaum,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Terdahulu Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu membangkitkan isu etnik ataupun kaum dalam pelantikan menteri Wilayah Persekutuan dan timbalannya yang masing-masing disandang oleh ahli Parlimen berbangsa Cina.
Lebih membimbangkan lagi katanya, pelantikan ini tidak berlandaskan merit atau keperluan dasar, tetapi susulan tekanan dan tawar-menawar politik.
Kenyataan ketua Whip PN itu muncul selepas Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan rombakan kabinet yang menyaksikan beberapa menteri dan timbalan menteri bertukar portfolio.
Sementara itu, Faiz menegaskan bahawa tidak timbul sama sekali isu DAP dan etnik Cina menguasai pentadbiran Madani dan ia adalah naratif menakut-nakutkan rakyat yang sudah lapuk.
“DAP hanya mempunyai lima ahli kabinet iaitu 15 peratus daripada 32 menteri termasuk perdana menteri and timbalan.
“Peratusan ini lebih rendah daripada kerusi DAP di Parlimen, iaitu 40 daripada 222 kerusi atau 18 peratus,” katanya.
