Senat Kazakhstan pada Khamis meluluskan rang undang-undang (RUU) yang melarang propaganda lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) selepas bacaan kedua, lapor Anadolu Ajansi.
RUU itu merupakan sebahagian daripada undang-undang bertajuk “Pindaan dan Tambahan kepada Beberapa Akta Perundangan Republik Kazakhstan mengenai Isu Arkib dan Pembatasan Pengedaran Kandungan Haram”.
Perundangan berkenaan melarang penyiaran propaganda LGBT dan pedofilia di tempat awam, termasuk sumber internet.
Dewan rendah parlimen republik itu atau Majilis, meluluskan pindaan berkenaan bulan lalu, sebelum RUU berkenaan dijadualkan untuk pertimbangan Senat pada 4 Dis. Namun, berikutan keperluan untuk meminda undang-undang lain, pendengaran itu ditangguhkan ke 18 Dis.
Menurut Naib Perdana Menteri bagi kebudayaan dan maklumat Kazakhstan Yevgeny Kochetov, pesalah berulang yang mengedarkan kandungan haram boleh dikenakan denda sebanyak 144,500 tenge (US$280). Pelanggaran undang-undang itu juga boleh mengakibatkan tahanan pentadbiran sehingga 10 hari.
- Bernama - Anadolu
