Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
TikTok jual operasi di AS kepada usahasama dipimpin Amerika
Diterbitkan:  Dec 19, 2025 8:48 AM
Dikemaskini: 12:49 AM

TikTok menandatangani perjanjian untuk menjual operasinya di Amerika Syarikat (AS) kepada sebuah usahasama baharu yang dipimpin pihak Amerika.

Langkah itu bagi menjamin masa depan aplikasi terbabit di AS, menurut memo Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shou Chew kepada kakitangan, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik laporan media pada Khamis.

Transaksi berkenaan yang masih belum dimuktamadkan, dibuat susulan undang-undang AS yang diluluskan tahun lalu mewajibkan ByteDance, syarikat induk TikTok dari China, melupuskan 80 peratus asetnya di AS atau berdepan larangan beroperasi di seluruh negara, menurut CNN.

“Kami telah menandatangani perjanjian dengan para pelabur berkaitan penubuhan usahasama baharu TikTok AS,” kata Chew.

Usahasama itu akan dimiliki 50 peratus oleh sekumpulan pelabur Amerika, termasuk Oracle, Silver Lake dan MGX yang disokong Emiriah Arab Bersatu.

Lebih 30 peratus pegangan akan dimiliki oleh sekutu pelabur sedia ada ByteDance, manakala ByteDance akan mengekalkan pegangan 19.9 peratus, menurut memo yang diperoleh CNN.

Pentadbiran Trump mengumumkan pada September bahawa perjanjian itu memenuhi kriteria sebagai “penjualan yang layak”, dan penguatkuasaan undang-undang larangan atau penjualan asal telah ditangguhkan selama 120 hari, memberikan tempoh sehingga 22 Jan 2026 untuk pihak-pihak berkaitan melengkapkan transaksi berkenaan.

Chew berkata ByteDance dan TikTok telah bersetuju dengan terma perjanjian itu, namun mengakui bahawa “masih banyak usaha perlu dilakukan” bagi memuktamadkan pengaturan itu.

- Bernama - Anadolu


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS