Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menepis stigma nuklear: Tiga wanita terajui operasi reaktor Triga Puspati

Reaktor Triga Puspati, satu-satunya reaktor penyelidikan nuklear di Malaysia, bukan sahaja unik dari segi teknologi, malah menonjol kerana dikendalikan oleh sekumpulan wanita pakar dan diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Pengendalian reaktor nuklear bukan tugas mudah kerana ia melibatkan sistem yang kompleks serta memerlukan tahap kepakaran, disiplin dan pematuhan keselamatan yang sangat tinggi.

Malaysiakini baru-baru ini berpeluang bertemu dengan tiga wanita yang menerajui operasi reaktor Triga Puspati di Pusat Teknologi Reaktor, Agensi Nuklear Malaysia, Bangi, Selangor iaitu Hasniyati Md Razi, 38; Norfarizan Mohd Said, 44 dan Zaredah Hashim, 40.

Mereka berkongsi realiti sebenar kerjaya sebagai pengendali dan penyelidik reaktor nuklear, sekali gus menepis salah faham masyarakat terhadap teknologi nuklear.

Menurut Norfarizan, antara cabaran terbesar wanita dalam bidang berkenaan adalah tuntutan penguasaan ilmu teknikal yang tinggi, khususnya dalam matematik dan fizik nuklear.

“Bidang nuklear memerlukan kefahaman teknikal yang sangat mendalam. Kami perlu sentiasa belajar dan mengekalkan tahap fokus yang tinggi,” katanya, yang merupakan graduan program Doktor Falsafah (PhD) Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Selain cabaran intelektual, anak jati Kota Tinggi, Johor itu juga berkata aspek keselamatan turut menjadi keutamaan, terutama bagi wanita yang berkeluarga.

“Sebagai wanita, kami lebih berhati-hati kerana berurusan dengan bahan radioaktif. Setiap prosedur keselamatan mesti dipatuhi sepenuhnya supaya tiada risiko pendedahan radiasi,” jelas ibu kepada tiga orang anak itu.

Sementara menurut Hasniyati, semua pengendali reaktor dilesenkan di bawah piawaian antarabangsa, dan lesen tersebut perlu diperbaharui setiap tiga tahun melalui peperiksaan bertulis, penilaian operasi serta temuduga semula.

“Ini untuk memastikan tahap kompetensi sentiasa berada pada standard tertinggi kerana keselamatan reaktor sangat bergantung kepada kecekapan operator,” kata anak jati Sungai Petani, Kedah itu.

Zaredah, yang bertugas sebagai pegawai penyelidik di Bahagian Sokongan Teknikal berkata, untuk mengendalikan reaktor Triga Pusati, seseorang operator perlu melalui proses latihan yang panjang dan ketat.

“Latihan bermula dengan kelas selama tiga minggu hingga sebulan, diikuti latihan praktikal selama enam bulan. Selepas itu, calon perlu lulus peperiksaan bertulis dengan markah minimum 90 peratus, latihan ‘walk-through’ dan peperiksaan operasi,” kata anak kelahiran Johor Bahru itu.

Keseluruhan proses ini, jelas ibu kepada tiga anak itu, mengambil masa lebih setahun sebelum lesen pengendali dikeluarkan.

“Ini kerana keselamatan reaktor sangat bergantung kepada kecekapan dan disiplin operator,” tambah Zaredah yang merupakan graduan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Nuklear bukan bom

Sementara itu, Hasniyati menegaskan bahawa salah tanggapan paling biasa dalam kalangan orang awam ialah menyamakan teknologi nuklear dengan bom atom atau tragedi seperti di Hiroshima dan Fukushima di Jepun.

“Apabila orang datang melawat reaktor kami, mereka dapat melihat sendiri bahawa sistem keselamatan sangat ketat. Reaktor penyelidikan seperti Triga Puspati berskala kecil dan direka dengan pelbagai ciri keselamatan,” kata graduan PhD Universiti Sains Malaysia (USM) itu.

Dia turut menjelaskan bahawa reaktor tersebut telah beroperasi lebih 40 tahun tanpa sebarang insiden besar, selain diaudit setiap tahun oleh Jabatan Tenaga Atom dan dipantau oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).

“Semua kakitangan dipantau tahap radiasi, termasuk wanita hamil yang tertakluk kepada had dos yang selamat. Nuklear bukan bom — ia teknologi sains yang selamat jika dikendalikan mengikut prosedur,” katanya.

Isu kesihatan wanita

Menurut mereka antara persoalan yang sering dibangkitkan masyarakat ialah kesan jangka panjang terhadap kesihatan, khususnya kesuburan wanita yang mengendalikan jentera nuklear.

Menjawab kebimbangan itu, Norfarizan menegaskan bahawa aspek keselamatan dan pemantauan kesihatan sentiasa menjadi keutamaan dengan pemeriksaan berkala perlu dijalani setiap tahun.

“Kami semua menjalani pemeriksaan kesihatan penuh di hospital setiap tahun dan setakat ini disahkan tiada sebarang masalah kesihatan atau isu kesuburan,” jelas Norfarizan.

“Keselamatan bukan sekadar garis panduan di atas kertas, tetapi budaya kerja harian kami,” tambahnya.

Ketiga-tiga mereka sepakat bahawa wanita tidak perlu takut untuk menceburi bidang nuklear, walaupun ia sering dilihat sebagai kerjaya berisiko.

“Bidang ini bukan hanya untuk jurutera nuklear. Latar belakang fizik, matematik, kejuruteraan elektrik, mekanikal dan sains bahan juga sangat diperlukan,” tambah Norfarizan.

Menurut mereka, kerjaya nuklear menawarkan peluang latihan dan pendedahan antarabangsa, selain kepuasan menyumbang kepada pembangunan teknologi negara.

“Jika anda suka belajar perkara baru dan mahukan kerjaya yang mencabar tetapi bermakna, nuklear adalah bidang yang sangat berbaloi untuk diterokai,” kata Hasniyati.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS