Blogger Papagomo mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan di bawah Peraturan 17A(1)(b) Peraturan Pendaftaran Perniagaan 1957 atas dakwaan menerima derma orang ramai melalui Invoke Solutions tanpa mengemaskini maklumat syarikat berdaftar.
Berdasarkan kertas pertuduhan, syarikat yang diuruskan oleh Papagomo sebelum ini didaftarkan melalui Borang A (Kaedah 3) sebagai syarikat pengurusan acara dan barangan runcit.
Borang A (Kaedah 4) adalah borang pendaftaran perniagaan untuk perniagaan milikan tunggal atau perkongsian di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Bekas exco Pemuda Umno itu didakwa menerima dana awam melalui syarikat berkenaan antara 24 Okt dan 30 Nov 2017 tanpa mengemaskini maklumat syarikat, yang mana dana tersebut adalah untuk membayar ganti rugi sivil dalam kes saman yang difailkan terhadapnya pada 2013.
Kesalahan ini boleh dihukum di bawah Seksyen 12A Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 yang memperuntukkan denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali.
Papagomo, atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris, mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Illi Marisqa Khalizan pagi ini.
Mahkamah selepas mendengar faktor mitigasi daripada Timbalan Pendakwa Raya Anas Mahadzir dan peguam Papagomo, Muhammad Amirul Arrasyid, menetapkan jaminan RM2,500 dan menetapkan 30 Januari 2026 sebagai tarikh sebutan semula kes.
Terdahulu, Anas meminta mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM5,000, manakala peguamnya meminta jumlah lebih rendah iaitu RM2,500, berdasarkan beberapa faktor termasuk tertuduh adalah bapa berusia 42 tahun, dan satu-satunya penyara keluarga tanpa pendapatan tetap.
Malaysiakini difahamkan pengadu kes itu ialah bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.
Pada 2013, Perdana Menteri Anwar Ibrahim memfailkan saman fitnah terhadap Papagomo berhubung blognya yang memaparkan gambar lucah Presiden PKR itu bersama seorang lelaki lain dalam keadaan intim.
Blogger itu diarahkan membayar ganti rugi sebanyak RM800,000 serta kos RM500,000 kepada Anwar pada 2014 selepas Mahkamah Tinggi mendapati dia memfitnah Anwar dengan niat jahat.
Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan itu pada 2015 selepas mendapati mahkamah tinggi telah membuat keputusan yang tepat bahawa dia telah melakukan fitnah terhadap Anwar.
