Perdana menteri ketika pertemuan bersama editor media membuat kenyataan bahawa pilihan raya umum ke-16 (PRU16) tidak akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
Masa kenyataan itu dibuat tidak boleh dipisahkan dengan fakta bahawa Pakatan Harapan (PH) baru sahaja ditolak teruk ketika PRN Sabah. Kekalahan itu memberi tamparan hebat kerana sudah tiga tahun memerintah, ketokohan PM sudah boleh diuji dengan teliti oleh rakyat.
Dasar baru sudah diperkenalkan tetapi selepas tiga tahun rakyat masih tidak yakin dan menolak gabungan yang dipimpin oleh perdana menteri ketika pilihan raya negeri (PRN) Sabah.
Tanpa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap yang calonnya diimport di saat-sat akhir, PH yang sedang memerintah negara akan mengalami kekalahan di semua kerusi yang dipertandingkan.
Ini menyebabkan perdana menteri tidak yakin dengan tahap sokongan sedia ada dan memerlukan masa sebanyak mungkin untuk cuba menaikkan tahap sokongan.
Kedua, ayam tambatan PH iaitu DAP sebagai penyumbang kerusi paling banyak dalam gabungan kerajaan juga kalah di semua kerusi yang dipertandingkan. Selain kalah, jumlah peratusan sokongan terhadap DAP di Sabah juga merudum teruk.
Sebagai perdana menteri yang bergantung harap kepada DAP untuk menyumbang kerusi parlimen yang mencukupi tentunya fakta dan data ini memberi gambaran tidak baik. Sekiranya DAP gagal menyumbang kerusi parlimen yang diharapkan maka runtuhlah PH pada PRU akan datang.
Perlu diingatkan, bahawa pada malam keputusan PRU15, jarak antara PH dan Perikatan Nasional (PN) sangat dekat. Jadi kegentaran perdana menteri untuk membubarkan parlimen awal untuk memberi ruang kepada PRU16 apabila DAP sedang menghadapi penurunan sokongan itu sangat keterlihatan.
Perdana menteri juga menyedari bahawa angka-angka ekonomi yang sering diumumkan itu tidak dirasai di bawah, maka sokongan yang diharapkan tidak dipamerkan dalam kertas undi.
Hal ini juga berkait dengan skandal rasuah yang sering kedengaran dalam pentadbiran ini, rakyat memikirkan walaupun pertumbuhan angka ekonomi itu baik tetapi ketirisan juga dilihat besar dan tidak seperti yang dikempenkan pada PRU lalu.
HARRIS IDAHAM RASHID adalah ketua penerangan Armada Bersatu.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
