Anggota parlimen DAP Ramkarpal Singh menuntut pihak berkuasa berusaha bersungguh-sungguh untuk mengheret pihak yang bertanggungjawab atas dakwaan penipuan dalam isu tujuh pemain bola “warisan" ke muka pengadilan.
Dia membuat gesaan itu sebagai maklum balas kepada Jawatankuasa Siasatan Bebas (IIC) yang menekankan keterhadan kuasa mereka, memandangkan pihak-pihak utama enggan bekerjasama, selain jawatankuasa itu tidak boleh memaksa saksi atau menuntut dokumen, sekali gus meninggalkan jurang besar dalam siasatannya.
Menyedari bahawa IIC mengesyorkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membuat laporan polis, anggota parlimen Bukit Gelugor itu berhujah bahawa IIC sepatutnya mengarahkan laporan polis dibuat sendiri kerana "tidak syak lagi beberapa ketidakteraturan pasti dibawa ke pengetahuannya semasa siasatan terhad dijalankan".
"Sebagai alternatif, polis sendiri boleh memulakan laporan rasmi bagi tujuan memulakan siasatan terhadap perkara itu.
"Walaupun diterima bahawa IIC tidak mempunyai kuasa untuk menyemak kesahihan keputusan kerajaan Malaysia dalam memberi kewarganegaraan kepada tujuh pemain itu, tidak syak lagi bahawa tujuan penubuhannya adalah untuk menjelaskan sama ada penipuan sedemikian sebenarnya berlaku.
"Dalam keadaan ini, kesimpulannya tidak boleh diberi banyak pertimbangan dan siasatan jenayah terhadap perkara itu oleh polis mesti dimulakan serta-merta," tambahnya.

Ramkarpal menegaskan bahawa siasatan segera dan menyeluruh adalah amat penting, terutamanya memandangkan penemuan Fifa, dan untuk menentukan sama ada kewarganegaraan pemain tersebut harus dibatalkan jika diperoleh secara penipuan.
"Tiada usaha yang harus ditinggalkan kerana perkara ini menarik perhatian global dan dalang di sebalik perkara ini harus dibawa ke muka pengadilan," katanya.
Pada Selasa, Malaysiakini melaporkan bahawa IIC, dalam laporan 59 muka suratnya, menyatakan bahawa dokumen penting disembunyikan dan pihak yang terlibat enggan bekerjasama dengan siasatan.
IIC berkata ia hanya boleh meneliti bahan yang disediakan secara sukarela oleh FAM dan kerjasama daripada mereka yang terlibat.
"Ini mengehadkan keupayaan IIC untuk menetapkan sepenuhnya asal usul pemalsuan yang disyaki atau mengenal pasti mereka yang bertanggungjawab ke atasnya," tambah jawatankuasa itu.
IIC juga berkata bahawa ia tidak mempunyai kuasa untuk menyemak, menilai atau mempersoalkan proses kesahihan keputusan kerajaan Malaysia dalam memberikan kewarganegaraan kepada tujuh pemain tersebut.
Jawatankuasa itu berkata bawah Perkara 26(1) Perlembagaan Persekutuan, kerajaan boleh, melalui perintah, melucutkan kewarganegaraan mana-mana warganegara jika berpuas hati bahawa pendaftaran atau sijil penaturalisian diperoleh melalui penipuan, representasi palsu atau penyembunyian mana-mana fakta material, atau dilaksanakan atau diberikan secara silap.
"Dalam keadaan ini, IIC menyimpulkan bahawa tujuh pemain itu adalah warganegara Malaysia. Bagaimanapun, kewarganegaraan sahaja tidak menjamin secara automatik kelayakan tujuh pemain tersebut untuk mewakili Malaysia dalam bola sepak antarabangsa," tambahnya.
Bekas ketua hakim negara Raus Sharif mempengerusikan jawatankuasa itu, yang turut dianggotai bekas hakim Mahkamah Rayuan Kamaludin Said, bekas ketua pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) Yusof Ismail, dan peguam kanan Thavalingam C Thavarajah, yang berkhidmat sebagai setiausaha.
