Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bos Maju Holdings dibenar ke UK, guna pasport sementara

Pengarah Maju Holdings Sdn Bhd, Abu Sahid Mohamed, dibenarkan untuk melakukan perjalanan ke United Kingdom bagi mengiringi kemasukan anak perempuannya ke sebuah universiti di negara itu bulan depan.

Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Suzanna Hussin, hari ini membenarkan permohonan Abu Sahid untuk ke London dari 12 hingga 28 Januari tahun depan, selain membenarkan dia memperoleh semula pasportnya secara sementara bagi tujuan perjalanan tersebut.

Hakim turut mengarahkan Abu Sahid supaya menyerahkan kembali pasport itu kepada mahkamah pada atau sebelum 30 Januari. Permohonan berkenaan difailkan Abu Sahid pada 10 Disember lalu.

Susulan keputusan itu pagi ini, Timbalan Pendakwa Raya, Fadhly Zambry memohon mahkamah mempertimbangkan untuk menghalang Abu Sahid daripada menggunakan akaun banknya di United Kingdom.

“Pihak pendakwa memohon mahkamah menggunakan budi bicara untuk mengenakan syarat tambahan, selaras dengan kebimbangan utama kami seperti yang dinyatakan dalam afidavit, iaitu supaya tertuduh tidak dibenarkan menggunakan akaun banknya di UK.

“Saya percaya mahkamah boleh menggunakan Seksyen 388 dan 389 Kanun Tatacara Jenayah dalam mempertimbangkan permohonan ini,” katanya.

Bagaimanapun, peguam Abu Sahid, Jasbeer Singh Kaura membantah permohonan tersebut dengan menyatakan syarat tambahan itu tidak adil dan akan menyukarkan kehidupan anak guamnya.

“Pendakwaan mengemukakan permohonan ini selepas mahkamah menggunakan budi bicara untuk membenarkan permohonan kami, tanpa terlebih dahulu mengenal pasti sekiranya wujud sebarang akaun bank di UK.

“Akaun bank yang mana? Akaun apa? Berapa jumlah wang di dalamnya? Dalam keadaan ini, syarat tambahan itu adalah tidak adil kepada tertuduh.

“Jika memang terdapat akaun bank, pemohon (Abu Sahid) memerlukan wang daripada akaun tersebut untuk menampung perbelanjaan harian serta yuran pengajian anak perempuannya.

“Jika mahkamah mengenakan syarat sedemikian, apa yang mereka perlu lakukan? Akaun mereka di Malaysia telah pun dibekukan, jadi apabila berada di UK untuk membayar yuran pengajian anak mereka, dari mana wang itu hendak diperoleh?” katanya.

Hakim Suzanna kemudian menolak permohonan pendakwaan itu selepas meneliti hujahan lisan kedua-dua pihak.

Tuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram

Abu Sahid, 74, didakwa pada 8 September lalu dan mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) serta 13 pertuduhan pengubahan wang haram.

Pertuduhan CBT itu dibuat di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun, sebatan dan denda.

Abu Sahid didakwa menggunakan kedudukannya sebagai pengarah Maju Holdings untuk menyalahgunakan dana syarikat berjumlah RM313 juta di CIMB Bank Berhad cawangan Bukit Tunku antara 3 Mei hingga 22 Nov 2016, 20 Jan hingga 27 Nov 2017, 8 Jan hingga 30 Nov 2018, serta 21 Okt 2019.

Pertuduhan pengubahan wang haram pula dibuat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUA) melibatkan jumlah RM139 juta.

Di bawah pertuduhan itu, dia didakwa memindahkan RM139 juta daripada akaun peribadi CIMB miliknya ke akaun lima individu dan lima syarikat, selain mengeluarkan wang tersebut melalui 15 cek.

Abu Sahid didakwa melakukan perbuatan tersebut dalam 19 kejadian berasingan antara 4 Mei 2016 hingga 20 Okt 2019, yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun serta denda sekurang-kurangnya lima kali ganda nilai hasil terbabit atau RM5 juta, mengikut mana yang lebih tinggi.

Dia sekali lagi didakwa pada 24 September di Mahkamah Sesyen Shah Alam, dengan dia mengaku tidak bersalah terhadap satu pertuduhan CBT di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana didakwa menyalahgunakan dana berjumlah RM145.5 juta yang diamanahkan kepadanya sebagai pengarah Maju Holdings.

Dana berkenaan dilaporkan dipindahkan ke sebuah syarikat pembinaan antara 12 Jan hingga 13 Jun 2018.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS