Aktivis Fahmi Reza telah ditahan dan telefon bimbitnya dirampas berhubung siasatan terhadap hantarannya di platform X mengenai Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Pereka grafik itu ditahan selepas hadir memberi keterangan di Bukit Aman petang ini.
Dia hadir bersama peguamnya, Rajsurian Pillai dan Yohendra Nadarajan.
“Kami sedang mengusahakan pembebasannya dengan jaminan,” kata peguam kepada Malaysiakini.

Rajsurian turut memberitahu pihak polis telah merampas telefon bimbit Fahmi.
Terdahulu, Malaysiakini melaporkan Fahmi berkata dia dipanggil untuk memberi keterangan di bawah Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dan Multimedia.
“Polis dah panggil. Let’s dance!” Tulisnya di media sosial, sambil memuat naik satu notis daripada Bukit Aman.
Berdasarkan notis yang dikongsinya, Fahmi disiasat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998.

Notis tersebut menyatakan dia dipanggil hari ini dengan siasatan dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bukit Aman, manakala laporan dibuat di Balai Polis Bukit Indah di Iskandar Puteri, Johor Bahru.
Kelmarin, dilaporkan lebih 50 laporan polis telah dibuat terhadap Fahmi berhubung hantaran di media sosial yang didakwa mengandungi kenyataan dan visual bersifat melampau, provokatif serta menghina Institusi Diraja Johor.
Antara yang membuat laporan itu adalah Exco Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor Aznan Tamin.
BACA BERITA BERKAITAN:
'Let's dance' - Fahmi dipanggil polis isu hantaran didakwa hina TMJ
Aznan berkata hantaran berkenaan bukan sahaja menyinggung perasaan rakyat Johor, malah boleh mencetuskan keresahan dan ketegangan dalam masyarakat sekiranya tidak dibendung.
Sementara itu, Fahmi menerusi satu hantaran lain pagi ini menegaskan dia bersedia untuk berdepan dengan sebarang siasatan atau dakwaan.
Fahmi juga menegaskan dia sedia mempertahankan haknya untuk bersuara.
“Tak kira berapa banyak laporan polis dibuat, aku sedia untuk berdepan dengan apa-apa siasatan atau dakwaan dan sedia pertahan hak aku bersuara.

“Kita rakyat, bukan hamba. Aku tak akan tarik balik atau padamkan tweet itu. Kuasa tak perlu disembah. Kuasa wajib dipersoal,” katanya lagi.
Hantaran yang menjadi pertikaian itu dibuat pada 15 Disember dan berbunyi”
“Apa masalah TMJ ini sebenarnya? Kenapa nampak seolah-olah dia boleh bertindak sesuka hati dan buat apa sahaja yang dia suka tanpa sebarang had, sempadan atau akauntabiliti yang jelas, tanpa batasan undang-undang?”.
Hantaran itu dibuat kurang seminggu selepas sebuah syarikat yang diterajui oleh Tunku Ismail melancarkan mata wang kripto stablecoin baru, RMJDT.
Malaysiakini telah menghubungi Fahmi untuk mendapatkan maklum balasnya.
Sejak 15 Disember lalu, secara keseluruhan Fahmi telah membuat sembilan hantaran berkaitan kerabat diraja Johor.
Sementara itu, PDRM Johor dalam kenyataan ringkas memaklumkan kes berkenaan disiasat oleh pasukan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
