Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Korban banjir Sumatera kini 1,078 orang, 190 lagi masih hilang
Diterbitkan:  Dec 19, 2025 7:46 PM
Dikemaskini: 11:46 AM

Jumlah kematian akibat bencana banjir di Sumatera terus mencatatkan peningkatan dengan angka korban setakat pagi ini mencecah 1,078 orang, menurut Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB).

Laman media Indonesia, Tempo memetik BNPB sebagai berkata, daerah Agam mencatat angka kematian tertinggi dengan 187 korban, diikuti Aceh Utara (169) dan Tapanuli Tengah (131).

Setakat ini, 190 orang masih tidak ditemui dan kira-kira 7,000 orang mengalami kecederaan, menurut laporan itu.

Dari segi kemusnahan harta benda pula, BNPB berkata sebanyak 147,236 buah rumah rosak, dengan 1,600 kemudahan awam termasuk 967 sekolah turut terjejas akibat bencana yang berlaku.

Bencana yang bermula pada akhir bulan lalu ini dianggap antara krisis paling buruk yang melanda wilayah tersebut dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan.

Menurut laporan laman Antara hari ini, pentadbiran Indonesia hari ini menyatakan komitmen untuk melaksanakan pelan tindak balas menyeluruh, termasuk pelan penempatan semula mangsa, pemulihan infrastruktur serta pengukuhan langkah pencegahan bencana.

Setiausaha kabinet Teddy Indra Wijaya berkata Presiden Prabowo Subianto telah membuat kunjungan ke Aceh, Sumatra Utara dan Sumatra Barat dan di bawah arahannya, pentadbiran telah memberi respons terhadap keluhan penduduk, termasuk dengan membina jambatan sementara.

Wijaya mengakui kelemahan kerajaan dalam menguruskan bencana tersebut tapi pada masa sama menegaskan semua pihak, termasuk media, perlu bekerjasama demi pemulihan yang pantas .

“Mohon sampaikan kenyataan dan pertanyaan dengan berhemah, serta elakkan naratif yang menggambarkan seolah-olah kerajaan tidak menjalankan tugas.

“Anda boleh membantu dalam situasi ini dengan mengangkat semangat rakyat, memupuk optimisme, serta membawa senyuman dan kegembiraan. Kita semua perlu bekerjasama, saling menjaga antara satu sama lain, dan memberikan tenaga positif,” katanya seperti dipetik.

Proses penyampaian bantuan dilaporkan berdepan cabaran ekoran kesukaran untuk ke lokasi, atas faktor geografi mahupun kerosakan infrastruktur.

BNPB sebelum ini memaklumkan jambatan yang runtuh menjadi halangan terbesar usaha menyampaikan bantuan dan pihaknya membuat penyelarasan dengan pelbagai agensi untuk membina jambatan sementara.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS