Pemuda Umno Malaysia hari ini mempertikai keputusan Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) yang melarang dapur ataupun premis memiliki sijil halal mengadakan dekorasi Krismas sempena perayaan itu tidak lama lagi.
Ketuanya, Dr Akmal Saleh, berkata dia sudah mendapatkan pandangan mufti berhubung pekeliling yang dikeluarkan Jaim dan pihak berautoriti itu berpendapat hiasan Krismas tidak menjadikan sesuatu makanan itu halal ataupun haram.
"Penentuan halal bagi makanan dan minuman ditentukan 100 peratus oleh sumber makanan dan cara penyediaannya, bukan bergantung pada dekorasi di dapurnya mahupun di tempat makan.
"Saya mohon Jabatan Agama Islam Melaka untuk melihat semula arahan yang melarang dekorasi di dapur dan outlet yang telah mendapatkan sijil halal," katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Akmal yang juga exco Melaka itu berkata dia telah mengajukan perkara tersebut kepada rakan sejawatannya yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Islam negeri untuk arahan tersebut diperhalusi semula.
Menurut Akmal, dia secara terbuka sudah membantah arahan tersebut kerana beranggapan ia tidak munasabah.
"Contoh jika ada penyediaan makanan dan minuman dalam gereja yang disediakan bukan Muslim, tetapi sumber makanan dan minuman itu adalah halal dan penyediaan itu penyediaan yang baik, maka makanan itu tetap halal.
"Saya dah bincang juga dengan beberapa orang mufti dan beberapa orang mufti juga telah bersetuju dengan saya bahawa penentuan halal bergantung kepada sumber makanan tersebut dan juga cara penyediaan.
"Dekorasi tak ada kena mengena (dengan penentuan status halal)," katanya lagi.
Tambah Akmal, Jaim perlu melihat semula keputusan berkenaan yang baginya adalah sesuatu perkara tidak adil.
