Pereka grafik dan aktivis, Fahmi Reza, dibebaskan polis selepas ditahan pagi tadi berhubung satu hantaran terkait pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, di media sosial .
Dalam satu hantaran di Facebooknya, Fahmi meminta orang ramai supaya tidak takut pada kerajaan mahupun kelompok kayangan.
"Pada jam 10.20 pagi tadi aku ditangkap polis Bukit Aman di bawah Akta Hasutan dan ‘akta sakit hati’. Sebanyak 284 laporan polis dibuat terhadap aku kerana posting aku pasal TMJ.
"Selepas disoal siasat, polis buat keputusan untuk bebaskan aku dengan jaminan polis.
"Tak kira berapa banyak kali aku kena lapor polis, kena siasat dan kena tangkap, aku akan sentiasa pertahankan hak dan kebebasan aku untuk bersuara," tulisnya di Facebook.
Terdahulu, Fahmi ditahan dan telefon bimbitnya dirampas pihak berkuasa berhubung hantarannya di platform X.
Sebelum itu dia hadir memberi keterangan di Bukit Aman. Fahmi ke situ ditemani peguamnya, Rajsurian Pillai dan Yohendra Nadarajan.
Hantaran yang menjadi pertikaian itu dibuat pada 15 Dis lalu itu dan berbunyi “Apa masalah TMJ ini sebenarnya? Kenapa nampak seolah-olah dia boleh bertindak sesuka hati dan buat apa sahaja yang dia suka tanpa sebarang had, sempadan atau akauntabiliti yang jelas, tanpa batasan undang-undang?”.
Awal bulan ini, Fahmi memuat naik "temu janji" ke-20 dengan pihak polis menerusi sebuah karikatur yang menggambarkan apa yang disifatkannya sebagai "hubungan berlarutan" yang kekal konsisten.
“Ini sudah kali ke-20. Hubungan kami sangat konsisten… Mereka panggil, saya datang,” katanya berseloroh.
Ketika itu, Fahmi siasat berhubung pelekat yang memaparkan seekor tikus berwarna coklat memakai tali leher dan kot dengan huruf “PM” pada pakaiannya, yang muncul sewaktu siaran langsung TikTok Kelas Demokrasi yang dikendalikannya.
