Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Tanah hutan’ Ayer Hitam: Penduduk tolak penjelasan exco, tunggu kronologi penuh

Jawatankuasa sementara membantah pembangunan Bukit Permatang Kumbang mempertikai penjelasan Ahli Exco Selangor, Jamaliah Jamaluddin berkaitan status tanah seluas kira-kira 169 ekar berhampiran Rizab Hutan Ayer Hitam di Kinrara, Puchong.

Awies Wong berkata penduduk tidak menolak fakta dalam penjelasan Jamaliah, tetapi sebarang kesimpulan yang dibuat kerajaan perlu mengambil kira keseluruhan kronologi berhubung status kawasan itu. 

"Penjelasan Jamaliah jelas tidak lengkap kerana dia tiada keseluruhan kronologi sebenar, khususnya berhubung dakwaan pajakan sejak 1926.

"Penduduk telah pun mengemukakan permohonan rasmi melalui pejabat Ahli Parlimen Subang Wong Chen, yang bersetuju untuk mendapatkan dan mendedahkan kronologi penuh pembangunan tanah tersebut daripada Kerajaan Selangor.

"Kami tidak mahu berspekulasi tapi mahu tunggu kronologi penuh. Bila semuanya didedahkan, barulah wajar untuk semua pihak memberi komen secara bertanggungjawab," katanya kepada Malaysiakini.

Sebahagian besar tanah itu terletak bawah kawasan parlimen Wong Chen.

Wong Chen (kanan)

Awies diminta mengulas kenyataan Jamaliah bahawa kawasan tersebut sudah lama tidak berstatus Hutan Simpanan Kekal, iaitu selama 99 tahun.

Jamaliah berkata semakan dengan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor mendapati kawasan berkenaan telah dinyah warta seawal 1926.

“Berdasarkan rekod pewartaan, kawasan berkenaan pada asalnya merupakan sebahagian daripada Hutan Simpan Ayer Itam yang diwartakan pada 1906.

“Bagaimanapun, pada 1926 kawasan tersebut telah dinyahwarta kepada Tanah Kerajaan dan seterusnya diberi milik,” kata Jamaliah.

Dia juga mengesahkan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) memaklumkan bahawa ia tidak menerima sebarang permohonan pembangunan bagi kawasan berkenaan, seperti yang dilaporkan.

Jamaliah Jamaluddin

Mengulas lanjut, Awies berkata Wong Chen dijangka berkongsi kronologi penuh pembangunan di kawasan tersebut pada awal Januari depan selepas surat dihantar kepada kerajaan negeri, dan penduduk memilih untuk menunggu fakta lengkap sebelum mengulas lanjut.

Katanya lagi, maklumat berkenaan tidak seharusnya dirahsiakan kerana ia melibatkan kepentingan awam dan alam sekitar.

Terdahulu, Wong Chen menuntut Kerajaan Selangor mendedahkan kronologi sejarah tanah berhampiran Hutan Simpan Ayer Hitam di Kinrara, Puchong yang dikatakan akan dimajukan.

Dia juga menuntut harga transaksi tanah didedahkah atas kebimbangan "kos pengambilalihan yang mungkin ditanggung oleh pembayar cukai".

‘Janji lama jadi retorik’

Awies berkata Jamaliah, selaku Exco yang memegang portfolio kesihatan awam, alam sekitar, perubahan iklim dan teknologi hijau, ada tanggungjawab moral dan politik untuk melindungi keselamatan rakyat.

"Penebangan 169 ekar hutan bukan isu kecil atau setempat. Ia memberi kesan kepada perubahan iklim, kesihatan awam dan keselamatan komuniti.

"Penduduk kecewa kerana corak yang sama berulang - pembangunan dinafikan pada peringkat awal, namun hanya diakui selepas pendedahan media.

"Janji lama kerajaan negeri bahawa tiada pembangunan di kawasan bukit sekitar Puchong kini dilihat sekadar retorik, apabila alasan lama kembali digunakan bahawa kawasan tersebut kononnya bukan sebahagian daripada Hutan Simpan,” katanya.

Dia berkata isu tersebut bukannya tentang soal teknikal atau dokumen lama, tetapi berkenaan kehendak politik dan rasa bertanggungjawab terhadap rakyat.

Sebagai penyelesaian, Awies mencadangkan agar kerajaan negeri menggunakan kuasa yang ada untuk membeli semula Bukit Permatang Kumbang - yang termasuk dalam kawasan itu - daripada pemaju dan mewartakannya sebagai hutan simpan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS